Sunday 13 January 2013

Lebih 20,000 jayakan Majlis Himpunan Kasih

KUALA PENYU: Lebih 20,000 pengunjung berjaya dihimpun ke Majlis Himpunan Kasih Sayang, Klik Dengan Bijak dan Nilai-Nilai Murni peringkat negeri yang diadakan di Padang Pekan Menumbok selama dua hari bermula Jumaat dan berakhir kelmarin.

Program anjuran bersama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan kerajaan negeri itu diserikan dengan pelbagai acara menarik antaranya pertandingan mewarna, konsert dan pameran.

Pelancaran himpunan berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Beberapa orang pengunjung ditemui sepanjang program itu memberitahu bahawa majlis berkenaan menjadi kenangan manis bagi mereka kerana sepanjang majlis berlangsung pelbagai program hiburan dan pameran yang memberi faedah kepada masyarakat di Menumbok turut diadakan.

Bagi seorang suri rumah, Norlaina Mohd Adnan 42, berkata, pameran dan jualan daripada syarikat telekomunikasi telah memberi ruang kepadanya untuk mendapatkan talian internet serta maklumat penting mengenainya.

"Saya telah mendapat manfaat serta maklumat penting mengenai penggunaan internet dan akan berhati-hati dengan penggunaan alat berkenaan terutama kepada anak-anak saya," katanya.

Bagi seorang pengunjung daripada Kota Kinabalu, Azzarina Joselina pula telah menggunakan sepenuhnya rebat RM200 pembelian telefon bimbit oleh kerajaan kepada para belia pada Belanjawan 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya hanya membayar kurang daripada RM200 untuk membeli sebuah telefon bimbit daripada salah satu ruang pameran jualan di sini," katanya.

Bagi mereka yang memerlukan bantuan, Program Titik Sentuhan turut diadakan sepanjang majlis ini berlangsung.

Pegawai-pegawai daripada Jabatan Penerangan yang diketuai oleh Timbalan Pengarahnya, Yunus Haji Saprin bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, John Teo Mau Sing telah membuat lawatan dari rumah ke rumah mereka yang dikenal pasti untuk menyampaikan bantuan keperluan asas dan wang tunai kepada mereka ini.

Sepanjang majlis, beberapa orang artis undangan telah turut menjayakan program itu antaranya, Fredo, Wann, Black dan Najwa Latip di samping penyanyi tempatan negeri ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun, Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Aliasnih, Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Wira Kamaruddin Siaraf serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.-/PENERANGAN

JM