Saturday 27 April 2013

Sepakat Komuniti 1Malaysia Daerah Pitas, Sabah

PITAS: Jabatan Penerangan sentiasa mendekati rakyat melalui programnya yang berbagai dan membawa kepada permuafakatan.

Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Haji Almain Ajirul, berkata ia menjadi agenda utama Jabatan Penerangan untuk mengeratkan perpaduan kaum serta menyampaikan maklumat kerajaan dengan tepat kepada rakyat jelata di seluruh negara.

Beliau berkata, sejak dari dulu lagi Jabatan Penerangan juga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan perpaduan kaum baik melalui ceramah, kursus, program rekreasi atau Komuniti 1Malaysia yang merangkumi semua aktiviti yang banyak memberi manfaat kepada seluruh rakyat jelata.

Beliau berkata demikian pada Majlis Komuniti 1Malaysia Peringkat Daerah Pitas anjuran Jabatan Penerangan Daerah Pitas di Arena Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) Pitas di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Pegawai Daerah Pitas, Sapdin Ibrahim berkata terdapat tiga pusat Komuniti 1Malaysia di daerah ini iaitu di Kampung Mempakad Laut, Kampung Dandun dan Pekan Kanibongan.

Katanya, Komuniti 1Malaysia Mempakad Laut pernah dinobatkan sebagai penerima anugerah keceriaan sempena bulan kemerdekaan peringkat kebangsaan di Tangkak, Johor pada tahun 2007. Manakala Komuniti 1Malaysia Pekan Kanibongan johan Pengkisahan peringkat Negeri Sabah pada tahun 2010.

Sapdin yang juga pengerusi Komuniti 1Malaysia Daerah Pitas mengajak masyarakat berbilang kaum agar melibatkan diri dengan Komuniti 1Malaysia di samping memperkasakan komuniti masing-masing dengan kepelbagaian aktiviti sepanjang masa.

Pelbagai acara diadakan di majlis sehari itu termasuk pusat pameran oleh agensi lerajaan dan kempen derma darah anjuran bersama Hospital Daerah Pitas dan cabutan tiket pengunjung bertuah.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan, Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Raymie Haji Amiril, Pegawai Penerangan Bahagian Pantai Barat Utara, Supian Musa, Pegawai Penerangan Daerah Pitas, Yakub Hamud dan Penolong Pegawai Daerah Pitas Bahagian Pentadbiran, Haji Bakri Nanun.-/PENERANGAN

MFM

Wednesday 10 April 2013

Peranan Ahli K1M Sebagai Ejen Perubahan Amat Diperlukan: Bobbey

NABAWAN: Penyertaan ahli-ahli Komuniti 1Malaysia dalam program-program anjuran kerajaan seperti Program Sepakat Komuniti 1Malaysia dan lain-lain lagi acara yang melibatkan dasar-dasar kerajaan adalah penting kerana mereka merupakan ejen perubahan dalam memantapkan sokongan rakyat terhadap barisan kepimpinan negara yang ada sekarang.

Setiap ahli Komuniti adalah ejen untuk membantu kerajaan bagi mencapai dan merealisasikan dasar-dasar yang digubal demi kepentingan bersama dan pada masa yang sama, mereka juga turut membantu pihak kerajaan mengukuhkan lagi kualiti dan kaedah penyampaian maklumat kepada kumpulan sasaran.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan N.38 Nabawan, Datuk Bobbey A. Suan berkata demikian ketika merasmikan Program Sepakat Komuniti 1Malaysia Peringkat Daerah Nabawan di Tapak Tamu Pekan Nabawan, di sini, pagi tadi.

Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawasan N.38 Nabawan, Jubilin Kilan.

"Setiap aktiviti yang dilakukan sepanjang program ini juga telah dijadikan medium bukan sahaja untuk membantu kerajaan dalam menyebarluaskan dasar-dasar kerajaan bahkan ianya juga dapat dijadikan platform bagi membantu rakyat khususnya ahli-ahli komuniti K1M mempromosi serta memperkenalkan produk-produk keluaran tempatan yang boleh dikomersialkan," kata beliau.

"Ini kerana kerajaan sebelum ini sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama melalui inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar," kata beliau lagi.

Antara pengisian Program Sepakat Komuniti 1Malaysia Peringkat Daerah Nabawan tersebut adalah persembahan artis-artis Pentarama Jabatan Penerangan Sabah, gerai pameran oleh agensi dan jabatan kerajaan, cabutan tiket bertuah, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dan lain-lain lagi.

Turur hadir, Pegawai Daerah Nabawan, Bubudan OT. Majalu; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Raymie Amiril bagi mewakili Pengarah Jabatan Penerangan Sabah; Pegawai Penerangan Daerah Nabawan, Melanie Marcellina J Kinjawan serta pengerusi-pengerusi K1M Daerah Nabawan.-/PENERANGAN

MFM