Tuesday 21 May 2013

Berikan sokongan kepada sambutan perayaan Kaamatan : Pairin

TUARAN: Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan pagi tadi merasmikan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran di Dewan Masyarakat Kiulu, di sini.

Beliau menyeru kepada semua penduduk negeri Sabah khususnya masyarakat berketurunan Kadazan Dusun dan Murut agar memberi sokongan yang lebih kuat kepada sambutan perayaan Kaamatan yang diadakan pada setiap tahun.

“Perayaan ini sungguh bermakna kerana ia adalah perayaan bagi keturunan KDM yang kita warisi daripada nenek moyang kita dahulu,” katanya.

Pada majlis itu, Pairin turut menyampaikan Anugerah Tokoh Padi Tuaran 2013 kepada Ringting @ Jennifer Banawa, 65 yang berasal dari Kg. Dungang, Tuaran.

Ringting ketika ditemui berkata, beliau bersyukur kerana dipilih sebagai penerima anugerah itu di atas kesungguhannya mengusahakan padi sawah sejak beliau bersara daripada perkhidmatan awam, sembilan tahun yang lalu.

“Dengan hasil pendapatan daripada penanaman padi sawah, saya dapat menghantar anak-anak ke sekolah disamping menambahkan pendapatan keluarga saya,” katanya.

Berhubung soal bantuan kerajaan, Rinting berharap agar bantuan-bantuan subsidi dan peralatan menanam dapat diberikan terutama sekali kepada golongan muda yang baru menceburkan diri dalam bidang pertanian.

“Saya juga mengajak golongan belia agar turut serta untuk memajukan diri dan memperoleh pendapatan melalui titik peluh sendiri dengan menceburkan diri dalam bidang ini,” tambahnya.

Turut hadir pada majlis itu, Ahli Parlimen P.170 Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau, Adun N.11 Kiulu Datuk Joniston Bangkuai, Pegawai Daerah Tuaran selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perayaan Kaamatan Daerah Tuaran Encik Madiyem Layapan, Ketua Bahagian PBS N.9 Tamparuli Datuk Jahid Jahim, Ketua Bahagian PBS N.11 Kiulu Datuk Louis Rampas, Pengerusi MIC Sabah Datuk V. Jothi dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur Encik Janid Bangud.-/PENERANGAN

Pairin mengetam (mongomot) pagi sebagai tanda simbolik perasmian

Ringting @ Jennifer Banawa (Kiri) penerima Anugerah Tokoh Padi 2013 dan Akim Lumboting (kanan) penerima Anugerah Luas Usaha Terbesar Padi Bukit

KT/SMR