TUARAN: Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri
Pembangunan Infrastruktur Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin
Kitingan pagi tadi merasmikan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran
di Dewan Masyarakat Kiulu, di sini.
Beliau menyeru
kepada semua penduduk negeri Sabah khususnya masyarakat berketurunan Kadazan
Dusun dan Murut agar memberi sokongan yang lebih kuat kepada sambutan perayaan
Kaamatan yang diadakan pada setiap tahun.
“Perayaan
ini sungguh bermakna kerana ia adalah perayaan bagi keturunan KDM yang kita
warisi daripada nenek moyang kita dahulu,” katanya.
Pada
majlis itu, Pairin turut menyampaikan Anugerah Tokoh Padi Tuaran 2013 kepada
Ringting @ Jennifer Banawa, 65 yang berasal dari Kg. Dungang, Tuaran.
Ringting
ketika ditemui berkata, beliau bersyukur kerana dipilih sebagai penerima
anugerah itu di atas kesungguhannya mengusahakan padi sawah sejak beliau
bersara daripada perkhidmatan awam, sembilan tahun yang lalu.
“Dengan
hasil pendapatan daripada penanaman padi sawah, saya dapat menghantar anak-anak
ke sekolah disamping menambahkan pendapatan keluarga saya,” katanya.
Berhubung
soal bantuan kerajaan, Rinting berharap agar bantuan-bantuan subsidi dan
peralatan menanam dapat diberikan terutama sekali kepada golongan muda yang
baru menceburkan diri dalam bidang pertanian.
“Saya
juga mengajak golongan belia agar turut serta untuk memajukan diri dan
memperoleh pendapatan melalui titik peluh sendiri dengan menceburkan diri dalam
bidang ini,” tambahnya.
Turut hadir pada majlis itu, Ahli Parlimen P.170 Tuaran Datuk Wilfred
Madius Tangau, Adun N.11 Kiulu Datuk Joniston Bangkuai, Pegawai Daerah Tuaran
selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perayaan Kaamatan Daerah Tuaran Encik
Madiyem Layapan, Ketua Bahagian PBS N.9 Tamparuli Datuk Jahid Jahim, Ketua
Bahagian PBS N.11 Kiulu Datuk Louis Rampas, Pengerusi MIC Sabah Datuk V. Jothi
dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur Encik Janid Bangud.-/PENERANGAN
Pairin mengetam (mongomot) pagi sebagai tanda simbolik perasmian |
Ringting @ Jennifer Banawa (Kiri) penerima Anugerah Tokoh Padi 2013 dan Akim Lumboting (kanan) penerima Anugerah Luas Usaha Terbesar Padi Bukit |
KT/SMR