Wednesday, 9 April 2014

MAJLIS TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT SABAH MALAM TADI

RABU: 9 APRIL 2014 
AL-QURAN SUMBER RUJUKAN PEMBANGUNAN TAMADUN: MUSA

KUDAT:  Al-Quran merupakan sumber rujukan bagi membangunkan tamadun manusia yang lengkap dengan ajaran dan khazanah ilmu pengetahuan bagi memenuhi keperluan ummah seiring dengan tuntutan syariat.

“Sehubungan itu amat penting bagi kita untuk mendalami, memahami dan menghayati setiap isis kandungan Al-Quran seterusnya diaplikasikan di dalam kehidupan kita seharian”.


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sabah 1435H/2014M di Dewan Tun Mustapha, di sini, malam tadi.

Menurut beliau, pendidikan yang berlandaskan Al-Quran dan sunnah harus dijadikan teras bagi melahirkan modal insan untuk memperkasa bangsa dan Negara dalam mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

“Justeru, penganjuran tilawah Al-Quran ini merupakan wadah terbaik bagi membangunkan generasi yang cemerlang dan unggul dalam pelbagai bidang menerusi pemahaman dan penghayatan terhadap kandungan kitab suci Al-Quran”, tambah Musa.

“Menyedari akan kepentingan usaha untuk meningkatkan lagi syiar islam khususnya penghayatan Al-Quran, kerajaan negeri akan membina lebih banyak Maahad Tahfiz Al-Quran di negeri ini”, tambah Musa lagi.

Ujar beliau, di samping memberikan tumpuan terhadap penguasaan aspek hafazan, tajwid, taranum dan sebagainya, Maahad Tahfiz ini juga bakal membina keimanan dan keyakinan tentang Allah SWT dan seterusnya melahirkan generasi muda islam yang cemerlang akademik dan sahsiah serta mencintai Al-Quran.

Pada majlis tilawah tersebut, wakil Tahsin Sabah (program kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah), Zunaidi @ Ady Misdaranai berjaya menjadi johan Bahagian Qari dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 6 Ribu, sijil penghargaan, hadiah iringan, kitab-kitab agama, jam tangan serta sepersalinan pakaian.

Manakala johan bahagian Qariah juga turut diungguli oleh peserta Tahsin Sabah iaitu Cik Sofizah Mousin yang juga membawa pulang wang tunai sebanyak RM 6 Ribu, sijil penghargaan, hadiah iringan, kitab-kitab agama, jam tangan serta sepersalinan pakaian.

Kedua-dua johan Qari dan Qariah tersebut akan mewakili Sabah ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mei ini di negeri Pahang.


Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin, Jemaah kabinet negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman serta ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri Sabah.


  
MFM/AJ/TH




KETERANGAN GAMBAR:

FOTO 1-Kelihatan Musa (kiri) menyampaikan hadiah kepada Zunaidi yang menjadi johan Qari.

FOTO 2-Johan Qariah, Sofizah (kanan) menerima ‘mock check’ daripada Musa pada majlis tilawah tersebut

FOTO 3- Johan Qari, Zunaidi (kiri) dan johan Qariah, Sofizah (kanan) bergambar kenangan bersama hadiah mereka.

Wednesday, 2 April 2014

PM Republik Demokratik Timor-Leste rasmi Pusat Perhubungan UMS-Timor Leste


Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Dr. Kay Rala Xanana Gusmao merasmikan Pusat Perhubungan Universiti Malaysia Sabah-Timor Leste di Galeri UMS, disini, petang tadi.

Pusat Perhubungan itu ditubuhkan untuk menyelaras dan mempererat jalinan silaturahim serta kerjasama dengan kerajaan Timor-Leste.

Terdahulu, UMS telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Petroleum dan Sumber Mineral kerajaan Republik itu dimana UMS akan menyediakan kepakaran dan kemahiran industri minyak dan gas kepada Timor-Leste melalui skim latihan yang diberikan kepada 30 orang penduduk yang terpilih.-/PENERANGAN

KT/VM/ZA