Saturday 27 April 2013

Sepakat Komuniti 1Malaysia Daerah Pitas, Sabah

PITAS: Jabatan Penerangan sentiasa mendekati rakyat melalui programnya yang berbagai dan membawa kepada permuafakatan.

Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Haji Almain Ajirul, berkata ia menjadi agenda utama Jabatan Penerangan untuk mengeratkan perpaduan kaum serta menyampaikan maklumat kerajaan dengan tepat kepada rakyat jelata di seluruh negara.

Beliau berkata, sejak dari dulu lagi Jabatan Penerangan juga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan perpaduan kaum baik melalui ceramah, kursus, program rekreasi atau Komuniti 1Malaysia yang merangkumi semua aktiviti yang banyak memberi manfaat kepada seluruh rakyat jelata.

Beliau berkata demikian pada Majlis Komuniti 1Malaysia Peringkat Daerah Pitas anjuran Jabatan Penerangan Daerah Pitas di Arena Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) Pitas di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Pegawai Daerah Pitas, Sapdin Ibrahim berkata terdapat tiga pusat Komuniti 1Malaysia di daerah ini iaitu di Kampung Mempakad Laut, Kampung Dandun dan Pekan Kanibongan.

Katanya, Komuniti 1Malaysia Mempakad Laut pernah dinobatkan sebagai penerima anugerah keceriaan sempena bulan kemerdekaan peringkat kebangsaan di Tangkak, Johor pada tahun 2007. Manakala Komuniti 1Malaysia Pekan Kanibongan johan Pengkisahan peringkat Negeri Sabah pada tahun 2010.

Sapdin yang juga pengerusi Komuniti 1Malaysia Daerah Pitas mengajak masyarakat berbilang kaum agar melibatkan diri dengan Komuniti 1Malaysia di samping memperkasakan komuniti masing-masing dengan kepelbagaian aktiviti sepanjang masa.

Pelbagai acara diadakan di majlis sehari itu termasuk pusat pameran oleh agensi lerajaan dan kempen derma darah anjuran bersama Hospital Daerah Pitas dan cabutan tiket pengunjung bertuah.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan, Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Raymie Haji Amiril, Pegawai Penerangan Bahagian Pantai Barat Utara, Supian Musa, Pegawai Penerangan Daerah Pitas, Yakub Hamud dan Penolong Pegawai Daerah Pitas Bahagian Pentadbiran, Haji Bakri Nanun.-/PENERANGAN

MFM

No comments:

Post a Comment