Thursday 27 June 2013

111 Pengerusi-Pengerusi JKKK/JKDB Daerah Tenom Tamat Kursus Pengurusan Dan Pentadbiran

TENOM: Seramai 111 peserta terdiri daripada Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kesejahteraan Dalam Bandar (JKDB) Daerah Tenom telah tamat Kursus Pengurusan dan Pentadbiran JKKK/JKDB yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 Jun sehingga hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, YB Datuk Raden Malleh berkata kehadiran pengerusi-pengerusi JKKK/JKDB yang telah dilantik ini membuka peluang kepada mereka untuk saling mengenal antara satu sama lain disamping dapat berkongsi pengalaman khususnya kepada isu-isu yang berkaitan dengan tahap keberkesanan perkhidmatan JKKK/JKDB di daerah Tenom.

Selain itu kata Raden lagi, JKKK/JKDB berperanan sebagai pemudahcara kepada agenda pembangunan Kerajaan di peringkat kampung bagi merealisasikan agenda pembangunan masyarakat luar bandar.

"Ini amat penting dan ianya perlu dilaksanakan menerusi sistem penyampaian yang telus," kata beliau semasa ucapan Majlis Perasmian Penutupan Kursus Pengurusan dan Pentadbiran JKKK/JKDB di sini, pagi tadi.

Tambah beliau lagi, sebagai pemimpin di peringkat yang paling hampir dengan rakyat akar umbi seharusnya menjadi teladan yang baik kepada masyarakat setempat yang diwakili.

"Kepimpinan berteladan yang mempunyai ciri-ciri positif seperti bersih, telus, cekap, amanah, berhemah serta mesra rakyat akan memberi inspirasi kepada rakyat setempat, sekali gus dapat menggembleng kekuatan untuk mencapai tujuan asal penubuhan JKKK/JKDB," kata beliau.

Raden berkata lazimnya masyarakat yang maju dan berdaya saing lahir daripada seorang pemimpin yang baik dan berkaliber serta kemampuan serta mampu memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan.

"Kepimpinan bukanlah pangkat, keistimewaan atau gelaran tetapi ia adalah satu amanah dan tanggungjawab," kata beliau.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ghulam Jelani Khanizam.

Turut hadir sama Pegawai Daerah Tenom, Siriman MF Basir dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Kemabong, Gan En Siong @ Fredian Gan.-/Penerangan

Ghulam menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta kursus.

Ghulam menyampaikan ucapan perasmian
EK/JM

No comments:

Post a Comment