Wednesday, 22 January 2014

BAKISA BERAZAM PERTAHANKAN KEJUARAAN - JULIA

KOTA KINABALU :   Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional Sabah (BAKISA) berazam mempertahankan kejuaraan untuk kali ke-10 pada temasya Sukan Isteri Wakil-wakil Rakyat SeMalaysia 2014.

Pengerusi Biro Sukan, Datin Seri Panglima Hajah Julia Salag berkata kontinjen tersebut akan berangkat ke Johor pada Selasa depan dan mensasarkan kejuaraan pada acara sukan badminton, boling dan perbarisan.

“Misi Bakisa untuk mempertahankan kejuaraan dan membawa balik Piala Perdana 1Malaysia untuk kali ke-10 tahun ini.

“Sasaran acara masih lagi kepada sukan badminton dan boling selain acara perbarisan kita dominasi sejak Sembilan tahun lalu,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada isteri Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah yang juga penaung badan amal itu, Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Datuk R.M. Jasni di istana Negeri, petang tadi.

Dengan menggunakan khidmat tiga orang jurulatih professional, Yang Ket Liang serta Steven Joker bagi badminton dan Ricky Loh bagi sukan boling, Bakisa menurut Julia, yakin dengan prestasi kontijennya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan kehadiran masyarakat di sekitar Sembulan untuk menghadiri majlis anjuran Bakisa bersama YADIM Zon Sabah iaitu Program Santai Bersama Al-Hafiz ustaz Mohd Kazim Elias di Dewan Saadah, bermula jam 7 malam esok (Jumaat).

Personaliti yang popular dengan rancangan Kalau Dah Jodoh di siaran Astro Oasis itu akan menyampaikan ceramah bertajuk “Keluarga Pembentuk Ummah Berkualiti”./PENERANGAN-

KETERANGAN GAMBAR:


  1. CENDERAMATA…Yang Di-Pertua Bakisa, Datin Seri Panglima Hajah Faridah Haji Tussin (lima dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Hajah Norlidah (enam dari kiri) sambil disaksikan Julia (lima dari kiri) serta para AJK Bakisa.
  2. ALBUM…Hajah Norlidah (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama rombongan Bakisa yang akan berangkat ke Johor, Selasa depan.

No comments:

Post a Comment