Wednesday 29 January 2014



RABU:  29 JANUARI 2014


AMALKAN KONSEP MERAKYATKAN PERKHIDMATAN AWAM: ALMAIN
 
 KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Penerangan Sabah (Japen Sabah), Haji Almain Ajirul menggesa para anggota Jabatan Penerangan Sabah agar dapat mengamalkan konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam seperti yang disarankan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa, baru-baru ini.
 
“Kerajaan telah memperkenalkan konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam yang akan diterapkan kepada 1.4 juta penjawat awam dalam memastikan penyampaian perkhidmatan tersebut menepati kehendak rakyat”.
 
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bilangan 1/2014 Japen Sabah di Dewan Semarak Wisma Dang Bandang, di sini, pagi tadi.
 
Almain berkata, konsep itu merupakan salah satu usaha transformasi kerajaan sebelum memasuki fasa Wawasan 2020 bagi menjadikan perkhidmatan awam sebagai perkhidmatan rakyat menerusi Enam prinsip dalam konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam tersebut.
 
Justeru semua anggota Japen Sabah diseru agar menghayati enam prinsip tersebut serta dapat mengamalkannya bagi memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan awam lebih-lebih lagi peranan Jabatan Penerangan Malaysia sendiri yang merupakan penyebar maklumat dan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat akar umbi, kata Almain.
 
"Enam prinsip tersebut iaitu seperti keterbukaan, turun padang, musyawarah, insaniah, kekitaan dan kerjasama bersama swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ialah satu pendekatan dalam mewujudkan penyampaian terbaik dalam sistem penyampaian kakitangan awam”, Almain menambah.
 
Ujar beliau, antara salah satu prinsip Merakyatkan Perkhidmatan Awam ialah turun padang yang merupakan pendekatan yang paling berkesan untuk mengenal pasti isu yang dihadapi serta menyelesaikannya secepat mungkin.
 
" Menerusi konsep turun padang, Anggota Japen Sabah perlu memainkan peranan dalam menjawab isu-isu yang dilemparkan terhadap kerajaan selain menjelaskan agenda dan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat," tambahnya lagi.
 
Pada Majlis yang sama, beliau juga turut merasmikan Program “Bergerak Sederap” bersempena Sambutan Hari Krismas 2013, Tahun Baharu 2014, Sambutan Maulidur Rasul dan Tahun Baru Cina 2014 anjuran Kelab Anggota Jabatan Penerangan Negeri Sabah (KAPSA).
 
Beliau berharap agar program tersebut dapat merapatkan lagi tali silatul Rahim antara kakitangan Japen Sabah yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.
 
Majlis tersebut turut meraikan kakitangan Japen Sabah yang telah bersara di samping cabutan tiket bertuah dan persembahan oleh artis-artis Pentarama Japen Sabah.
 
Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Yunus Haji Saprin; Pengerusi KAPSA Japen Sabah, Ishak Momin serta para pegawai kanan dan anggota Japen Sabah.
 
 Keterangan gambar:
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
1. Kelihatan Puan Hajah Rosnie Ekin (kiri) menerima anugerah pekerja cemerlang bagi bulan Januari 2014 yang disampaikan oleh Almain, sambil diperhatikan oleh Yunus (kanan sekali) pada majlis perhimpunan bulanan
 
 

2. Gimik perasmian Program Bergerak Sederap anjuran Kapsa Japen Sabah yang disempurnakan oleh Almain.
 
 



3. Puan Kenny Thomas (kiri) daripada Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Japen Sabah antara pemenang cabutan bertuah pada majlis itu.

Teks n Foto oleh: Mohd Faizal Mansor, Jeffren Malaning dan Vicky Matanjang
 

No comments:

Post a Comment