Wednesday 11 December 2013

Kerajaan Negeri Komited Pastikan Perpaduan Rakyat Kekal Kukuh di Negeri ini

Edward (empat dari kanan) melancarkan Perayaan Krismas Gaya 2013
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited untuk memastikan perpaduan rakyat, keharmonian kaum dan toleransi beragama kekal kukuh di negeri ini, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ir. Edward Yong Oui Fah.

Katanya, rakyat di negeri ini harus menolak sebarang tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat dan kestabilan kerajaan untuk merealisasikan agenda pembangunan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Perayaan Krismas Gaya di Lintasan Deasoka, semalam.

Dalam ucapannya, Edward turut berkata bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman komited untuk memelihara budaya dan adat yang merupakan khazanah penting untuk diwarisi oleh generasi akan datang di negeri ini.

Jelasnya, sebanyak RM29.6 juta telah diperuntukkan untuk tahun 2014 dalam usaha kerajaan negeri untuk memulihara, memperkaya dan memajukan program-program dokumentasi bagi semua aspek budaya etnik di negeri ini.

Dalam pada itu, Edward berharap penganjuran program seperti Perayaan Krismas Gaya dapat diperbanyakkan lagi bagi menyokong usaha kerajaan negeri untuk memelihara kemakmuran sosial dan mengukuhkan perpaduan rakyat di negeri ini.

Perayaan Krismas Gaya 2013 diadakan selama empat hari dan akan berakhir pada 13 Disember.-/PENERANGAN

KT/VM

No comments:

Post a Comment