Tuesday 10 December 2013

MAJLIS PERASMIAN SEMINAR PSIKOLOGI PERKHIDMATAN AWAM & MAJLIS PENTAULIAHAN RAKAN PEMBIMBING PKHIDMATAN AWAM (AKRAB) NEGERI SABAH 2013

Zabidi menyampaikan ucapannya pada majlis itu
KOTA KINABALU: Anggota Perkhidmatan Awam digesa untuk memantapkan keperibadian masing-masing bagi memenuhi ekspektasi rakyat yang tinggi terhadap kerajaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata gesaan ini selaras dengan peranan anggota perkhidmatan awam sebagai ejen transformasi kerajaan untuk menangani isu-isu berbangkit yang disuarakan oleh rakyat.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Seminar Psikologi Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Majlis Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Negeri Sabah 2013 (AKRAB) di sebuah hotel terkemuka, pagi tadi.

Menurut Zabidi, beliau melihat penganjuran majlis itu sebagai salah satu usaha bagi mempersiapkan anggota perkhidmatan awam untuk berhadapan dengan cabaran era kemajuan teknologi pada masa kini.

Katanya, kemajuan teknologi memerlukan pendekatan yang lebih tangkas untuk memberi perkhidmatan yang lebih cepat kepada pelanggan yakni rakyat.

“Dalam keadaan ini, setiap anggota perkhidmatan awam perlu mempunyai daya tahan mental yang tinggi untuk membolehkan kita membuat keputusan yang lebih rasional,” kata beliau.

Dalam pada itu, Zabidi berharap anggota perkhidmatan awam yang ditauliahkan sebagai Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam 2013 kali ini memberi tumpuan dan komitmen yang tinggi dalam menjayakan transformasi ilmu seterusnya kepimpinan.

Pada Majlis Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Negeri Sabah 2013, seramai 53 orang terdiri daripada anggota perkhidmatan awam negeri Sabah telah ditauliahkan sebagai Rakan Pembimbing AKRAB.

Program AKRAB adalah salah satu mekanisme baru bagi menyahut seruan kerajaan dalam proses transformasi negara dengan menggunakan pendekatan psikologi dan kaunseling yang humanistik serta holistik.

Matlamat utama AKRAB adalah “bimbing diri dan bantu rakan” yang menghadapi cabaran hidup sama ada di tempat kerja, keluarga dan persekitaran.-/PENERANGAN


KT/JJ

No comments:

Post a Comment