Monday, 24 March 2014

KESUMBA SUMBANG RM 15,000.00


Hajah Norlidah menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim Rumah As Sakinah
KESUMBA SUMBANG RM 15,000.00

KEPADA RUMAH ANAK YATIM
DAN TABUNG KEBAJIKAN PELAJAR UMS


KOTA KINABALU  :    Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah ( KESUMBA ) telah menyumbang sebanyak 15 ribu ringgit kepada Rumah Anak Yatim As Sakinah Taman Sabindo Lok Kawi, Rumah Anak Yatim Putera Harapan Ranau dan Tabung Kebajikan Pelajar UMS.
Sumbangan ini adalah sebahagian tanggungjawab sosial dan sebagai tanda keprihatinan KESUMBA kepada mereka yang memerlukan selain mendekati masyarakat akar umbi dengan memberi khidmat bantuan.

"Kelab ini telah ditubuhkan pada tahun 1996 yang bertujuan antara lain membantu dan meninggikan imej serta nama baik universiti melalui pelaksanaan aktiviti dalam bidang sosial dan kebajikan".

"Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah kelas memasak, kraftangan, kelas Al-Quran dan Iqra, Program 'Half Day Care' serta kelas tuisyen kepada anak-anak ahli KESUMBA yang mencecah 300 orang disamping menjalinkan kerjasama menerusi aktiviti berkaitan bersama badan-badan persatuan yang lain".

Yang Di-Pertua KESUMBA, Datin Baidah Ibrahim berkata demikian semasa berucap di Majlis Makan Malam Amal Semarak Budi KESUMBA yang bertujuan mengumpul dana untuk disumbangkan kepada rumah anak yatim dan golongan yang memerlukan.

Majlis  itu yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi telah dihadiri oleh isteri Tuan Yang Terutama Yang Di-pertua Negeri Sabah, Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Datuk R.M Jasni yang juga selaku Penaung KESUMBA.

Toh Puan Hajah Norlidah turut menyampaikan sumbangan dari KESUMBA kepada Rumah Anak Yatim As Sakinah, Sabindo Lok Kawi, Rumah Putera Harapan Ranau serta Tabung Kebajikan Pelajar UMS.
 
Rumah Anak Yatim Putera Harapan Ranau menerima sumbangan dari KESUMBA yang disampaikan oleh Hajah Norlidah (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Datin Baidah (kanan sekali)
Pada majlis itu juga, Yayasan Nur Jauhar turut menyampaikan sumbangan kepada KESUMBA yang diterima oleh Datin Baidah.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah serta Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Mohd Ayid.
 
Hajah Norlidah (tiga dari kiri ) bersama Jainab (dua dari kiri) dan Mohd Harun (kiri sekali), Baidah (tiga dari kanan) ketika menghadiri majlis tersebut
/PENERANGAN-WW/THJ/MFM


No comments:

Post a Comment