Monday 3 March 2014

Majlis Perasmian Hari Landskap Negara 2014


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman menyeru semua pihak untuk memelihara dan mengekalkan kekayaan landskap semula jadi di negeri ini.

Musa berkata ia bukan saja mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tetapi turut menjadi pemangkin kepada perkembangan industri eko pelancongan.

“Sambutan yang bertemakan ‘Landskap Mampan, Bandar Sejahtera’ ini sinonim dengan keindahan dan keunikan alam semulajadi di negeri Sabah...Dalam konteks ini, landskap mempunyai peranan dan sumbangan penting bagi menjayakan usaha pembentukan bandar yang indah, selesa serta selamat,” kata beliau.

Sambutan tersebut sememangnya amat relevan dan signifikan kepada rakyat Malaysia di Sabah, kata beliau semasa berucap merasmikan Hari Landskap Negara 2014 dan pelancaran Rakan Taman Awam Teluk Likas, di sini, pagi tadi.

Dalam pada itu, Musa menyeru agar semua pihak termasuk badan-badan korporat dan sektor swasta untuk membantu melaksanakan penyelenggaraan yang lebih efektif di taman-taman awam serta kawasan kejiranan masing-masing melalui Program Rakan Taman.

Terdahulu, Datuk Abdul Rahman Dahlan, menteri di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kementeriannya mensasarkan untuk membangunkan sekurang-kurangnya sebuah taman awam bertaraf Taman Bandaran bagi setiap bandar di negara ini menjelang 2020.

Sehubungan itu, Dahlan telah mengumumkan kementeriannya melalui Jabatan Landskap Negara akan memulakan pembinaan Taman Awam Baru di Batu 2 1/2, Sandakan dan menyambung Taman Awam Teluk Likas Fasa 2 Kota Kinabalu sehingga ke Muara Likas pada tahun ini.  

Beliau juga mensasarkan supaya persekitaran di 50 buah bandar dipertingkatkan melalui Pembangunan Landskap Perbandaran.

Kementeriannya juga akan terus berusaha untuk mencapai penetapan supaya dua hektar kawasan lapang disediakan bagi setiap 1000 orang penduduk selaras dengan hasrat kerajaan bagi mewujudkan "vibrant city".

Menurut Dahlan, terdapat hanya 2,445 buah taman awam dengan keluasan berjumlah 14,185 hektar saja di seluruh negara pada tahun 2013. Dan daripada jumlah tersebut, hanya 781 dalam keadaan yang memuaskan manakala 1,377 buah taman awam perlu dinaiktaraf.

"Justeru, bagi menampung keperluan penduduk bandar semasa, kira-kira 39,200 hektar kawasan lapang diperlukan di seluruh negara,"katanya.

Selain itu, kementeriannya akan terus membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyediakan rangkaian kawasan hijau, lapang dan berkualiti, tambah beliau.

Beliau menjelaskan bahawa di negeri Sabah sendiri, pelbagai projek telah pun dilaksanakan oleh Jabatan Landskap Negara termasuklah penyediaan Pelan Induk Landskap untuk PBT, pembangunan Taman Awam Baru, menaiktaraf Taman Awam, Pembangunan Landskap Persekitaran Kehidupan dan pemuliharaan landskap.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Haji Mohd Noor, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan, Datuk Halimah Mohamed Mohd Sadique, Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’ Seri Arpah Abdul Razak, menteri-menteri kabinet negeri Sabah, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman, Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Tuan Haji Esa Haji Ahmad dan exco-exco kerajaan serta ketua-ketua jabatan./-PENERANGAN

KT/EK/AM

No comments:

Post a Comment