Thursday 27 March 2014

UMS BAKAL SEDIA KEPAKARAN UNTUK TIMOR-LESTE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah akan menyediakan kepakaran dan kemahiran industri minyak dan gas kepada Timor-Leste.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata UMS akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Petroleum dan Sumber Mineral kerajaan Republik Demokratik Timor-Leste pada 2 April ini.

Katanya, lanjutan daripada MoU itu, hasrat Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk bekerjasama dengan institusi penyelidikan dan pembelajaran bakal tercapai melalui skim latihan dalam industri minyak dan gas yang disediakan untuk penduduk Timor-Leste.
  
“UMS akan menawarkan peluang pengajian daripada peringkat sijil hingga diploma kepada mereka dan setakat ini seramai 30 orang pelatih telah dipilih untuk mengikuti program pengajian ini,” katanya pada sidang akhbar disini, pagi tadi.

Jalinan kerjasama diantara UMS dan Timor-Leste dilihat bakal memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.

Harun berkata hubungan kerjasama itu bukan saja dapat membawa imej UMS ke peringkat antarabangsa tetapi pada yang sama akan meningkatkan jumlah pelajar antarabangsa di universiti itu sendiri.

Katanya, sebuah Pusat Perhubungan UMS-Timor Leste turut ditubuhkan untuk menyelaras dan mempererat jalinan silaturahim serta kerjasama dengan kerajaan Timor-Leste.

Dalam perkembangan lain, Universiti Malaysia Sabah akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Hubungan Antarabangsa kepada Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Kay Rala Xanana Gusmao pada 2 April 2014 pukul 9 pagi.

Majlis Konvokesyen Komemoratif itu akan berlangsung di Dewan Canselor, UMS dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Juhar Haji Mahiruddin, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan beberapa menteri dari Republik itu./-PENERANGAN


KT/EK

No comments:

Post a Comment