Friday, 29 November 2013

KPWKM SASAR LEBIH BANYAK PROGRAM ADVOKASI DI SABAH

Kelihatan Azizah menandatangani ‘sandwich board’ yang memaparkan tulisan tentang anti keganasan terhadap wanita.
BEAUFORT: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan lebih giat mendekati wanita Sabah melalui program-program di peringkat akar umbi dalam usaha untuk membendung dan mengurangkan keganasan terhadap wanita terutamanya yang melibatkan institutsi keluarga.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Timbalan  Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Hajah Azizah  Datuk Seri Panglima Mohd. Dun ketika ditemui pemberita pada sidang media sempena Majlis Perasmian Karnival Respek Wanita: Wanita Anti Jenayah yang diadakan di Dewan Masyarakat Pa ’Musa, di sini, petang kelmarin.

Berdasarkan rekod pihak Polis Diraja Malaysia, kes keganasan rumah tangga yang dicatatkan di seluruh negara pada Januari hingga September tahun lalu adalah sebanyak 2558 kes dilaporkan berbanding tahun ini yang hanya mencatat sebanyak 2229 kes pada tempoh yang sama.

Manakala di negeri Sabah pula, pada Januari hingga September tahun lalu, kes yang telah direkodkan adalah sebanyak 141 kes manakala tahun ini sebanyak 144 kes yang telah dilaporkan.

“Saya yakin salah satu faktor yang menyumbang kepada penurunan kes berkenaan adalah disebabkan kempen atau program berbentuk advokasi yang telah dijalankan oleh KPWKM di pelbagai peringkat khususnya di peringkat akar umbi”, kata Azizah.

“Sementara itu, bagi negeri Sabah pula peningkatan angka yang kecil bagi kes tersebut adalah ditahap yang masih terkawal namun begitu hal ini perlu di ambil serius oleh semua pihak agar dapat memastikan kadar jenayah terhadap wanita berkurangan di negeri ini”, ujar Azizah lagi.

Tambah beliau, KPWKM menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) akan memperbanyakkan lagi usaha untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan wanita di negeri Sabah terus terbela.

Program-program advokasi seperti Seminar Kepekaan Gender, Literasi Undang-Undang, Wanita Anti Jenayah (WAJA), Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita dan Gadis, Selamatkan Diri Anda (SEDiA), Program Kesejahteraan Emosi dan Program Transformasi Minda akan lebih giat dijalankan di negeri ini.

Dalam pada itu, Azizah berharap agar program-program yang dijalankan oleh pihak kementeriannya di negeri ini akan terus membantu mengurangkan berlakunya kes keganasan terhadap wanita khususnya keganasan rumah tangga.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Siti Sapoo Haji Ahok; Timbalan Ketua Pengarah JPW, Puan Che Azizah Che Rashid; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Hajah Fatimah Japar serta Penolong Pegawai Daerah Beaufort, Haji Mohd Shaid Othman.-/PENERANGAN

MFM/JK

No comments:

Post a Comment