Friday, 1 November 2013

Warga Penerangan Perlu Lengkapkan Diri Dengan Kemahiran

ALMAIN (tengah) melancarkan gimik perasmian
KOTA KINABALU: Warga kerja Jabatan Penerangan Sabah diseru untuk melengkapkan diri dengan kemahiran di samping memperkasakan ilmu pengetahuan dan sifat peribadi yang berdaya saing.

Pengarah Penerangan Sabah, Tuan Haji Almain Ajirul berkata seruan ini selaras dengan agenda transformasi negara yang berpaksikan inovasi dan kreativiti dalam menjalankan setiap tugas yang diberi.

"Inovasi berterusan diperlukan bukan hanya mencakupi prosedur dan proses kerja tetapi termasuk juga cara kita berfikir serta sanggup mengubah diri sendiri," katanya pada Majlis Perasmian Hari Inovasi Jabatan Penerangan Sabah Tahun 2013 disini, pagi tadi.

Menurut Almain, pelaksanaan inovasi menuntut warga kerja Jabatan Penerangan Sabah supaya berfikiran terbuka dan sentiasa bersedia untuk melakukan pembaharuan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Justeru Almain mengajak semua anggotanya untuk berfikir dengan lebih kritis agar dapat menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti bagi memenuhi kehendak pelanggan tanpa mengenepikan peraturan-peraturan Kerajaaan.

Dalam pada itu, Almain berharap para penerima Anugerah Inovasi Tahun 2013 pada kali ini dicontohi dan dimanfaatkan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan produktiviti Jabatan Penerangan Sabah.

Pada Majlis Anugerah Inovasi Tahun 2013, sebanyak 15 anugerah yang dipertandingkan termasuk  tiga anugerah kategori berkumpulan dan dua belas anugerah kategori individu.

Turut hadir, Encik Yunus Haji Saprin, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah dan Puan Emily Clarice Joannes, Pemangku Pengarah Penerangan Labuan.

No comments:

Post a Comment