Wednesday, 30 October 2013

Kolej Vokasional Johan Pertandingan Sketsa

SESI FOTOGRAFI.. Sahanip bergambar bersama peserta-peserta
pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab 1Malaysia.
KENINGAU: Kolej Vokasional Keningau muncul johan dalam Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab 1Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2013 anjuran Jabatan Penerangan Sabah yang berlangsung di sini, hari ini.

Kemenangan pada pertandingan itu telah membolehkan Kolej Vokasional Keningau meraih pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1500 berserta piala.

Naib Johan pula disandang oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Narinang yang mewakili Bahagian Pantai Barat Utara dan tempat ketiga dimenangi daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan, Tawau.

Terdahulu, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Haji Sairin Haji Karno berkata penyertaan generasi muda khususnya ahli-ahli Kelab 1Malaysia dalam pertandingan ini dapat memberi impak positif dalam usaha memperkasakan semangat patriotisme.

Katanya, generasi muda kurang menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara dan ini amat menyedihkan kerana golongan ini merupakan pelapis kepimpinan Negara masa depan.

“Bertepatan dengan tema Pertandingan pada hari ini iaitu “Penghayatan Rukun Negara Teras Penerapan Nilai-nilai Murni” diharap peserta mampu menjadi agen perubahan dalam melahirkan masyarakat yang cintakan negara,” katanya dalam ucapan perasmian Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab 1Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2013, pagi tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakilnya, Pemimpin Kemajuan Rakyat Liawan, Encik Sahanip Jamil.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Perhubungan , Encik Raymie Amiril, Encik Mohd Nadzim Ariffin  mewakili Pengarah Kolej Vokasional Keningau serta Pegawai Penerangan Daerah Keningau Encik Hendry Nordin.

No comments:

Post a Comment