KOTA KINABALU: Karya bertajuk “Sabah Kaya Bah” nukilan Harold Reagan Eswar berjaya merangkul Anugerah Khas Tuan Yang Terutama dan membawa pulang wang tunai RM7,000.
Anugerah yang julung kali diadakan itu adalah sempena sambutan 50 tahun Sabah merdeka dalam Malaysia.
Manakala karya lukisan Masni Haji Muin yang bertajuk “Klias Riverside 1” pula memenangi Pemenang Karya Utama (Kategori C) dan menerima hadiah wang tunai RM6,000.
Hadiah-hadiah tersebut disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Mahiruddin pada Majlis Pameran dan Penyampaian Hadiah Karya Pilihan Tahunan Negeri Sabah sempena Hari Jadi Rasmi TYT Ke-60, di salah sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Karya Pilihan Tahunan Negeri Sabah merupakan aktiviti pengembangan seni visual tahunan anjuran Balai Seni Lukis Sabah yang dipengerusikan oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) di bawah naungan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri.
Aktiviti tahunan ini melibatkan penyertaan dari para pelukis, pengukir, pengarca, perekabentuk dan sebagainya bagi menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi untuk dipilih, dipamer dan dikumpul sebagai koleksi dan khazanah Balai Seni Lukis Sabah dan Negeri.
Sebanyak 3 kategori telah dipertandingkan iaitu Kategori A (Menengah Rendah), Kategori B (Menengah Atas) dan Kategori C (Terbuka) yang diadakan dalam dua peringkat iaitu Peringkat Bahagian dan Peringkat Negeri.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri Sabah; Pengerusi LKNS, Datuk Wences Angang dan Pengurus Besar LKNS./PENERANGAN-
No comments:
Post a Comment