Saturday 5 October 2013

Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah 2013

KOTA KINABALU: Seramai 53 orang menerima Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Ke-60 Tahun Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin di Istana Negeri, pagi tadi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran tertinggi iaitu Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima, diikuti Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Panglima Angkatan Tentera Datuk Seri Panglima Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Ketua Polis Negara Datuk Seri Panglima Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pengasas YTL Corporation Datuk Seri Panglima Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.

Tun Juhar turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran kedua tertinggi iaitu Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Senator Datuk Dr. Lucas Umbul; Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Datuk Au Kam Wah; ADUN Sindumin Datuk Haji Ahmad Bujang; Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Jame Alip; Datuk Haji Abdul Shukur Haji Idrus; Datuk Haji Abdul Kadir M.E. Sikkandar; Datuk Alex Sham Ching Nam; Datuk Dr. Hajah Suzain Datuk Haji Suhaimi; Datuk Li Yuan Ken dan Datuk Patrick Jilan.

Pada majlis istiadat itu, Tun Juhar turut mengurniakan Watikah Pelantikan  sebagai Jaksa Pendamai (JP) kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Johnny Mositun; Datuk Haji Mohd. Ainal Fattah dan Dato’ Sulaiman Ibrahim.

Selain itu, seramai 14 orang menerima Darjah Kebesaran Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK).

Antaranya ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Sabah (JASA) Tuan Haji Abdul Manap Lakariba; Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun dan Ketua Pemberita Utusan Borneo Salamat Tambanan @ John.

Manakala, seramai 21 orang lagi menerima Darjah Kebesaran Ahli Darjah Kinabalu (ADK).  

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan isteri; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Panglima Mohd. Salleh Bin Tun Said Keruak; Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan; Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin; Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Seri Panglima Sukarti Wakiman; para jemputan khas dan ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri.-/PENERANGAN

No comments:

Post a Comment