Wednesday 2 October 2013

Majlis Penyampaian Kek Sempena Perayaan Harijadi TYT ke 60

KOTA KINABALU: Beberapa buah hotel terkemuka sekitar Kota Kinabalu berpeluang menyampaikan kek sempena perayaan ulang tahun ke-60 Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah Tun Haji Juhar Bin Haji Mahiruddin di Istana Negeri, pagi tadi.

Majlis ringkas yang diadakan telah diwarnai dengan persembahan 10 buah kek hasil sentuhan kreatif oleh Chef Pastri daripada 10 buah hotel yang terlibat.
Chef Sugih Muliana, Chef Pastri daripada Sutera Harbour berkata Kek Mentega Vanila Walnut dan Kurma Madu seberat 50kg hasil ciptaan beliau merupakan persembahan unik sempena hari jadi Tun Juhar yang ke-60.

Menurutnya, kek empat tingkat setinggi empat kaki itu merupakan interpretasi simbolik status dan kedaulatan pemimpin negeri diterajui Tuan Yang Terutama Tun Juhar.

Sejarah penggunaan bantal dalam upacara rasmi kerabat di raja di seluruh dunia dari awal kurun ke-12 menjadi sumber inspirasi Chef Sugih dan ahli pasukannya untuk menghasilkan sebuah kek yang menarik perhatian ramai.

Bantal-bantal kek dihiasi dengan replika sebilah keris dan songkok yang dipakai oleh Tuan Yang Terutama sebagai lambang negeri Sabah.

Sementara itu, Chef Natasha Samin, Chef Pastri daripada Hotel Horizon menghasilkan ciptaan kek berlatarbelakangkan suasana masyarakat yang sedang membuat persiapan bagi merayakan perayaan ulang tahun Tun.

“Budaya tempatan yang saling bekerjasama dan bergotong royong bekerjasama apabila tiba sesuatu perayaan merupakan sumber inspirasi saya untuk menghasilkan kek ini,” katanya.

Turut mencuri perhatian ialah persembahan kek daripada Hyatt Regency, dimana Chef Pastri, Chef Ismail Saidan menghasilkan kek yang bertemakan hidupan di dalam dasar laut.

Menurut Chef Ismail, hasil ciptaan beliau didorong oleh kesedaran untuk memelihara dan memulihara hidupan dasar laut yang semakin pupus.

Beliau berkata Sabah mempunyai tarikan pelancongan yang sangat baik terutama dalam aktiviti menyelam di dasar laut. Justeru, amat penting generasi pada masa kini memupuk kesedaran dalam diri masing-masing untuk memelihara khazanah yang dimiliki.

Pada akhir majlis, Tun Juhar turut menyampaikan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat di atas usaha mereka mempersembahkan hasil kreatif yang amat bermakna buat beliau dan keluarga.

Antara hotel yang turut terlibat pada Majlis Penyampaian Kek sempena perayaan harijadi Tun Juhar ialah Hotel Palace; Hotel Ming Garden; Rasa Ria Resort; Nexus Karambunai; Le Meridien dan Sabah Oriental.

Turut hadir, isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Norlidah RM Jasni, pengurus-pengurus hotel dan kakitangan hotel.-/PENERANGAN

No comments:

Post a Comment