Wednesday, 31 July 2013

Penjawat Awam Negeri terima Bayaran Bantuan Khas Kewangan 2013

Musa ketika mengumumkan bayaran bantuan khas kepada kakitangan peringkat negeri pada sidang media  di pejabatnya tengahari tadi.

KOTA KINABALU: Penjawat awam negeri bermula jawatan Gred 1 hingga Gred 54 termasuk kakitangan sambilan di bawah lantikan Vot Terbuka layak menerima Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebelum Hari Raya Aidil Fitri akan datang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman memaklumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam itu membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM9,579,500.

Di samping bayaran bantuan khas itu, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk melaksanakan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) berkuat kuasa mulai 1 Julai 2013 bagi semua Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus selesai mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di pejabatnya, tengahari tadi.

“ Semua penjawat awam Negeri Sabah akan menerima dua kenaikan gaji tahun ini iaitu kenaikan gaji tahunan biasa dan pemberian pemindahan gaji dengan amaun satu Kenaikan Gaji Tahunan seperti yang dilaksanakan untuk penjawat awam Persekutuan,” katanya.

Tambahnya langkah itu selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ketiga Belas untuk menambah baik skim perkhidmatan awam dan struktur gaji anggota perkhidmatan awam.

Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM24juta bagi tempoh setahun dan memberi manfaat kepada 16,255 orang kakitangan yang sedang berkhidmat dalam pelbagai jawatan di pelbagai kementerian/jabatan negeri.

“Faedah dan manfaat ini akan diperolehi sepanjang tempoh perkhidmatan awam termasuk menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini,” katanya.-/PENERANGAN

KT/JF/ZJ

TYT hadiri Majlis Sambutan Hari Pahlawan 2013

Kelihatan… Tun Haji Juhar sedang memeriksa perbarisan pada majlis tersebut.
KOTA KINABALU - Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Tun Haji Juhar Haji Mahiruddin berkenan menghadiri Majlis Sambutan Hari Pahlawan 2013 di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Likas, disini pagi tadi. 

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Timbalan-timbalan Ketua Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet Sabah.-/PENERANGAN

SB/MK

Tuesday, 30 July 2013

Kunjungan Hormat


KOTA KINABALU  :  Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Tun Haji Juhar Haji Mahiruddin berkenan menerima kunjungan Hormat daripada Etiqa Insuran dan Takaful Berhad di Istana Negeri disini pagi tadi.

Kunjungan hormat ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Rizlan Azman bertujuan untuk menyerahkan Zakat Perniagaan 2012 sebanyak RM 474,853.60 kepada Pusat Zakat Sabah (MUIS) yang diwakili oleh Timbalan Pengerusinya, Aspah Abdullah Sani.

Menurut Ahmad, ini merupakan salah satu tanggungjawab  syarikat kepada masyarakat dan beliau berharap sumbangan ini dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan di negeri ini.

Terdahulu, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Jabatan Audit Negeri Sabah yang baru, Zaaba Zainuddin, 54 bertujuan untuk mengerat dan memupuk hubungan baik yang sedia ada di antara Jabatan Audit  dengan kerajaan khususnya kerajaan negeri.

Beliau menyarankan agar jabatan dan agensi di negeri ini meningkatkan prestasi untuk mencapai kecemerlangan di peringkat kebangsaan dan secara tidak langsung merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri ini.-/PENERANGAN

SB/JJ

TYT dan Toh Puan Hadiri Majlis Iftar Ramadhan UMS

Tun Haji Juhar (kanan) menyampaikan sumbangan hari raya kepada salah seorang penerima

KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah,  Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin dan isteri Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Datuk R.M Jasni menghadiri Majlis Iftar Ramadhan Universiti Malaysia Sabah (UMS), petang kelmarin.

Pada majlis itu, Tun Haji Juhar yang juga Canselor UMS menyaksikan penyerahan wang zakat berjumlah RM 13 ribu daripada Pusat Zakat Negeri Sabah kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Tun Haji Juhar dan Toh Puan Hajah Norlidah juga turut menyampaikan sumbangan berupa duit raya kepada 39 orang pelajar Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu dan 31 orang warga kerja serta pelajar UMS pula menerima wang zakat.

Hadir sama, Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMS serta mahasiswa dan mahasiswi universiti itu.-/PENERANGAN

MFM/TH/ZA

Monday, 29 July 2013

Courtesy Call


The Head of State,  Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin received a courtesy call from two Kota Kinabalu High Court Judges.
Tuan Ravinthran Paramaguru and Tuan Chew Soo Ha had an audience with Juhar  at the State Istana this morning. Both have been elevated as Kota Kinabalu High Court judges, effective  8th January this year. Ravinthran served as Judicial Commissioner at the Kota Kinabalu High Court  for about four years prior to his new appointment.  Chew also served as Judicial Commissioner for more than three years in Penang before being transferred as High Court judge in Kota Kinabalu.-/PENERANGAN

RS/TH

Sunday, 28 July 2013

Majlis Berbuka Puasa dan Makan Malam bersama PM dan Isteri malam tadi


KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Isteri, Datin Seri Panglima Rosmah Mansor malam tadi menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Makan Malam bersama para pemimpin Barisan Nasional Sabah serta penjawat awam kerajaan negeri dan persekutuan Sabah di salah sebuah hotel terkemuka di sini.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri dan isteri turut menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan seperti golongan orang kurang upaya (OKU), fakir miskin dan anak-anak yatim daripada pertubuhan kebajikan yang ada di negeri ini, sempena bulan Ramadan yang penuh barakah ini.

Beliau berdua juga turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Terawih bersama umat islam yang hadir pada majlis tersebut.


Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman bersama Jemaah Kabinet negeri Sabah serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan Sabah.

MFM/AM

Saturday, 27 July 2013

PM Dan Isteri Tiba Di KKIA 2 Petang Tadi

Kelihatan… Najib (kiri) bersalaman dengan Musa sejurus tiba di KKIA 2.

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Panglima Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak dan isteri, Datin Seri Panglima Rosmah Mansor selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu 2 (KKIA 2), Tanjung Aru, di sini, petang tadi.

Beliau dijadualkan akan menghadiri Majlis Perjumpaan Tertutup dengan Ketua-Ketua Parti Komponen Barisan Nasional serta menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Hotel Magellan, Sutera Harbour sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada jam 10.15 malam ini.

Turut menyambut beliau di KKIA 2, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman serta Jemaah Kabinet Negeri Sabah.

WJ/MK/MFM

Friday, 26 July 2013

TYT Hadiri Majlis Istiqbal Nuzul Al-Quran Sempena Sambutan Perayaan 50 Tahun Sabah Merdeka Dalam Malaysia

Tun Juhar (kanan) menyampaikan bantuan zakat kepada kumpulan penerima asnaf fakir dan miskin sekitar Kota Kinabalu.

Tun Juhar (empat dari kanan) Menteri–menteri Kabinet serta  masyarakat muslimin ketika menghayati bacaan ayat suci Al-Quran disampaikan oleh Ustaz Zunnidi Misdaranai.

KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Di-pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin telah berkenan menghadiri Majlis Iqtiqbal Nuzul Al-Quran 1434h/2013 sempena sambutan Perayaan 50 tahun Sabah Merdeka Dalam Malaysia yang diadakan di Masjid Negeri, Sembulan malam tadi.

Majlis tersebut diadakan bagi memperingati dan mensyukuri peristiwa turunnya Al-Quran, mukjizat terbesar Nabi Muhammad S.A.W sebagai rahmat kepada manusia disamping membudayakan ilmu dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan umat Islam selaras dengan ajaran Al-Quran.

Antara pengisian program tersebut ialah penyampaian bantuan zakat kepada 27 orang asnaf fakir dan miskin sekitar daerah ini, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta Tazkirah bertajuk  ‘Sejauh mana Al-Quran Berpengaruh Dalam Diri Setiap Umat Islam’. Tazkirah disampaikan oleh Ustaz Habiburahman El-Shirzy  seorang pendakwah, penyair dan juga seorang novelis berasal dari Jawa Tengah, Indonesia.  

Pada majlis itu, Tun Juhar berkenan berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Terawih bersama masyarakat Islam.

Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Haji Hajiji Haji Mohd. Noor, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haji Sukarti Wakiman, Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Abu Bakar Hassan, Menteri-menteri kabinet serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.-Penerangan

Thursday, 25 July 2013

Hargai Pengorbanan Pasukan Keselamatan - Musa

Musa (dua dari kiri) menyerahkan kuih-muih Hari Raya Aidilfitri
 kepada pasukan PDRM yang diwakili oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Dato' Pahlawan Haji Hamza Taib (dua dari kanan) sambil disaksikan Yang Di-Pertua BAKISA, Datin Seri Panglima Hajah Faridah Haji Tussin (tengah), Sukarti (paling kiri) dan Maznah (paling kanan)

KOTA KINABALU : Rakyat di negeri ini diseru berterima kasih dan menghargai jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata tanpa pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasa, rakyat tidak akan dapat hidup dengan aman dan damai.

“Sebagai rakyat di negeri ini, kita harus bersyukur dan berterima kasih kepada pasukan keselamatan di atas jasa dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai,” katanya lagi.

“Tanpa mereka, kita tidak akan dapat hidup dalam keadaan yang aman dan damai ketika negara-negara luar seperti Syria dan Mesir sedang bergolak dan kucar-kacir," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri 2013 kepada anggota pasukan keselamatan di Menara Tun Mustapha, di sini, pagi tadi.

Menurut Musa, acara tahunan anjuran BAKISA itu sebagai tanda penghargaan khususnya daripada kerajaan negeri terhadap pengorbanan pasukan keselamatan. 

Penerima sumbangan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Briged Kelima Infantri Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), 2 Divisyen Udara, Angkatan Tugas Bersama 2, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Penjara Malaysia.

Kuih muih tersebut sumbangan 31 buah agensi kerajaan negeri, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan dan pertubuhan wanita. 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sukarti Wakiman dan isteri; Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Abu Bakar Hassan dan Timbalan SKN Sabah merangkap Pengerusi Penganjur, Datuk Maznah Abdul Ghani./PENERANGAN-

KT/AM/ZA

Jimat Cermat Elak Pembaziran, Beban Kewangan : Almain

BERBUKA PUASA…Almain (dua dari kiri) sedang membaca doa makan pada majlis itu.

KOTA BELUD : Sikap berjimat cermat perlu dibudayakan dalam bulan Ramadan bagi mengelakkan pembaziran dan beban kewangan selepas musim perayaan.

Pengarah Penerangan Sabah, Haji Almain berkata amalan mulia itu mampu mewujudkan perancangan kewangan yang baik untuk diri dan keluarga pada masa depan.

“Kita perlu merancang kewangan dengan baik terumatama menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.

“Perbelanjaan juga harus diurus mengikut kemampuan sendiri dan bukannya kemahuan,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Berbuka Puasa dan Solat Sunat Terawih di Pejabat Penerangan Bahagian Pantai Barat Utara, di sini, malam tadi.

Selain itu, beliau juga berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin terhadap keperluan rakyat terutamanya pemberian Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri dan mengawal kenaikan harga barang.

Menurut Almain, langkah tersebut membuktikan keikhlasan kerajaan untuk membantu dan membela nasib rakyat selaras dengan slogan kerajaan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

Beliau turut menyarankan semua kakitangan jabatan agar meningkatkan prestasi jabatan.

“Kerjasama dan komitmen kakitangan jabatan amat diperlukan untuk menaikkan lagi nama jabatan yang kini berada di kedudukan keenam terbaik dalam pengurusan isu peringkat kebangsaan,” jelasnya.

Hadir sama, Pegawai Penerangan Bahagian Pantai Barat Utara, Supian Musa; Pengerusi Komuniti 1Malaysia Kampung Tangkurus, Awadnir Matanggal dan kakitangan Jabatan./PENERANGAN-

SB/AJ

TYT dan Toh Puan Berbuka Puasa Bersama Warga IPK Kepayan

Kelihatan.. Tun Haji Juhar (tengah) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim pada majlis itu, sambil diperhatikan oleh Toh Puan Hajah Norlidah (dua dari kanan)

KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah,  Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin dan Isteri Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Datuk R.M Jasni menghadiri Majlis Berbuka Puasa Warga Polis Diraja Malaysia, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Masjid Nur Islam, IPK Kepayan,di sini, petang kelmarin.

Pada majlis itu, Tun Haji Juhar dan Toh Puan Hajah Norlidah turut menyampaikan sumbangan ikhlas kepada anak-anak yatimdan balu polis.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman serta Pesuruhjaya Polis Sabah, Dato’ Pahlawan Haji Hamza Taib.-/PENERANGAN 

MFM/TH

125 Anak-Anak Yatim Dapat Sumbangan

Hajah Norlidah (dua dari kanan) dan Enung (empat dari kanan) meyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar SAN Pekan Tambunan.

TAMBUNAN:  Seramai 125 anak-anak yatim di Rumah Anak-anak Yatim (RAY) di sini menerima sumbangan daripada Yayasan Nur Jauhar sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh isteri Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Datuk R.M. Jasni, baru-baru ini.

Turut menerima sumbangan, 48 orang pelajar di Sekolah Agama Negeri (SAN), Pekan Tambunan.

Guru besar sekolah itu, Hajah Zubaidah Abd Rahim berkata beliau amat menghargai sumbangan serta keprihatinan yayasan berkenaan sebagai penyuntik semangat 64 orang murid di sekolah tersebut untuk terus cemerlang dalam akademik.

Hadir sama, isteri Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datin Florence Malakig; isteri Presiden Sutera Harbour, Datin Enung Njoman dan Pengetua RAY, Rahim Yahya./PENERANGAN

ZA/ISTANA

Wednesday, 24 July 2013

Kunjungan Hormat Persatuan Teater Muzik Sabah Dan Persatuan Golf Sabah


Pembuat Gitar, Jeffrey Yong (dua dari kiri) menunjukkan sebuah gitar unik yang dihasilkan daripada pokok mangga kepada Tun Juhar.

Album....George (duduk kiri) bersama rombongan SGA turut merakam kenangan bersama Tun Juhar (tengah).

KOTA KINABALU: Bersempena Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Persatuan Teater Muzik Sabah (SMTS) akan menganjurkan Pesta Gitar Antarabangsa Borneo (BIGFest) bermula 4 Oktober sehingga 6 Oktober depan.

Presiden SMTS, Peter Chua berkata pesta ini bakal dihadiri oleh ramai pemain gitar yang terkemuka di seluruh dunia termasuklah daripada Jepun, Australia, New Zealand, Filipina dan Malaysia sendiri. 

Antara pemain gitar terkemuka yang terlibat dalam pesta ini adalah Acapella dari Filipina.

Tambah beliau, semasa festival berlangsung dan sebagai daya tarikan turut dianjurkan juga pelbagai karnival menarik seperti karnival makanan, karnival kanak-kanak dan juga bengkel membuat gitar secara percuma oleh tenaga pengajar yang berpengalaman.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Haji Juhar Haji Mahiruddin di Istana, pagi tadi.

Terdahulu, Tun Juhar turut berkenan menerima kunjungan hormat daripada rombongan Persatuan Golf Sabah (SGA).

Presiden SGA, George B.H. Bandusena berkata tujuan kunjungan hormat tersebut adalah untuk menjemput Tun Juhar sebagai tetamu kehormat sempena Kejohanan Piala TYT Antara Kelab SGA yang akan diadakan pada September nanti.

"Sebanyak 17 gabungan kelab dengan SGA akan bertanding masing-masing menghantar lapan pemain setiap kelab untuk kejohanan tersebut," kata beliau.

Dalam kunjungan hormat itu George turut memperkenalkan ahli majlis tertinggi yang baru kepada Tun Juhar.-/PENERANGAN

EK/JM

Warga Tentera 5 Briged Terima Sumbangan Aidil Fitri


Marcus (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Panglima 5 Briged (dua dari kiri)


KOTA KINABALU: Warga tentera 5 Briged Kem Lok Kawi hari ini menerima sumbangan sempena Hari Raya Aidil Fitri daripada Ahli Parlimen P. 173 Putatan, Datuk Dr Marcus Mojigoh, di sini, pagi tadi.

Sumbangan berupa kuih Raya dan seekor lembu diserahkan oleh Marcus kepada Panglima 5 Briged, Brigadier General Datuk Panglima Ranjit Singh Ramday pada majlis penyerahan itu.

Pada majlis itu Ranjit berkata, Aidil Fitri ini akan dapat disambut dengan meriah walaupun terdapat para anggotanya yang terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga masing-masing.

Katanya, terdapat anggota yang bertugas jauh di perbatasan kerana terlibat dengan operasi-operasi di pulau-pulau dan persempadanan negara demi mempertahankan kedaulatan negara dan menjamin keselamatan rakyat.

“ Satu batalion tentera sedang melaksanakan Operasi Pasir Selatan di kawasan Semporna dan Tawau, manakala satu batalion tentera dari 9 Briged, Sarawak sedang melaksanakan Operasi Balasah di sempadan Kalimantan, Keningau dan Long Pasia,” jelasnya lagi.

Pada majlis yang sama, Marcus dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada jasa dan pengorbanan anggota tentera terutama sekali dalam menangani kes pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu.

Marcus turut menyeru agar para anggota tentera muda yang masih berkhidmat agar melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dengan mengambil peluang terhadap kemudahan teknologi ICT yang tersedia pada masa kini.
    
Turut hadir, Pengerusi Bakat 5 Briged, Datin Pritam Kaur, pegawai memerintah dan pemerintah, bintara-bintara dan anggota tentera 5 Briged Kem Lok Kawi.-/PENERANGAN

KT/VM

Golongan Korporat Digalak Bantu Rakyat Kurang Berkemampuan : Musa


Musa ketika menyampaikan  sumbangan kepada sebahagian anak-anak yatim yang hadir.

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menyeru dan mengalu-alukan agar lebih ramai golongan korporat dan usahawan di negeri ini tampil membantu golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan seperti anak-anak yatim, ibu tunggal, warga emas serta  golongan yang masih berada di bawah paras kemiskinan.

‘Saya  percaya sumbangan yang diberikan  bukan sahaja merupakan satu ibadah yang mulia bahkan ia juga adalah salah satu cara untuk kita membentuk peribadi mulia di bulan Ramadan Al –Mubarak melalui amalan-amalan sebagaimana dianjurkan dalam Islam’. Beliau berkata demikian semasa hadir pada Majlis Berbuka Puasa PADBERAS Nasional Berhad (BERNAS) di salah sebuah hotel terkemuka di sini petang kelmarin.

Pada majlis tersebut, Musa turut menyaksikan  penyampaian sumbangan daripada BERNAS sebanyak RM 10.000 kepada Lima (5) buah rumah anak yatim antaranya, Rumah Anak Yatim Ar-Raudhoh, Tawau, Rumah Putera Harapan, Ranau, Rumah Anak Yatim Suria, Tuaran, Rumah Anak Yatim Darul Bakti, Kota Belud,  Rumah Anak Yatim Al-Aman, Beaufort.

Terdahulu Pengerusi BERNAS Tan Sri Syed Abdul Jabbar Shahabudin berkata, selaras dengan matlamat membantu golongan yang kurang berkemampuan pihak BERNAS akan memastikan semua program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dirancang  dapat dilaksanakan demi kesejahteraan dan kemakmuran semua khususnya rakyat dnegeri ini.

Tambah Syed Abdul Jabbar, selain memberi sumbangan kepada rumah-rumah anak yatim, BERNAS juga turut menyalurkan sumbangan beras kepada rakyat Sabah yang kurang berkemampuan melalui pelbagai saluran antaranya melalui badan-badan sukarela, jabatan mahupun agensi-agansi kerajaan.   

Syed Abdul Jabbar turut memberi jaminan bahawa bekalan beras import untuk negeri Sabah adalah mencukupi bagi menghadapi tempoh perayaan yang akan menjelang tiba dan tidak perlu dibimbangkan.

Tambahnya Bernas mempunyai bekalan beras Import di Sabah berjumlah lebih 100,00 metrik tan (mt) dan mampu menampung permintaan dan keperluan rakyat untuk jangka sehingga enam (6) bulan.-/PENERANGAN

ZJ/VJ

Tuesday, 23 July 2013

Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Dan Pidato 1Malaysia Medan Asah Bakat Golongan Muda Berpidato


GIMIK PERASMIAN….yang disempurnakan oleh Salleh (tengah) sambil diperhatikan oleh Almain (dua dari kanan).
Usaha Jabatan Penerangan Sabah bagi menganjurkan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia dan Pidato 1Malaysia adalah sebagai satu usaha bagi mencungkil dan mengilap bakal-bakal pemimpin dikalangan golongan belia di negeri.

Ramai dikalangan golongan belia mahupun golongan pelajar di negeri ini mempunyai bakat terpendam dalam berpidato namun mereka tidak mempunyai platform mahupun medan yang sesuai untuk menunjukkan bakat-bakat mereka dalam berpidato mahupun berceramah.

Justeru, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia dan Pidato 1Malaysia anjuran Jabatan Penerangan Sabah ini boleh dijadikan sebagai medium untuk mengasah bakat mereka sekaligus ianya mampu melahirkan bakal-bakal pemimpin masa hadapan.

Pertandingan-pertandingan tersebut yang dianjurkan setiap tahun oleh Jabatan Penerangan Malaysia di setiap negeri itu menunjukkan bahawa golongan belia di Negara ini telah memberikan respons yang positif melalui sambutan yang begitu mengalakkan dari segi peningkatan penyertaan bagi setiap tahun khususnya bagi golongan belia di kalangan bukan melayu.

Pada 20 Jun yang lalu, Jabatan Penerangan Sabah telah menganjurkan Pertandingan Akhir Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia dan Pidato 1Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2013 di Dewan Semarak Wisma Dang Bandang Kota Kinabalu.

Ianya telah dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said.

Dalam pertandingan Pidato 1Malaysia, wakil Bahagian Pedalaman Atas Encik Lukman Alhakim Abdullah @ Low Yit Kun muncul johan dan menerima wang tunai sebanyak RM1,500, Laptop 1Malaysia serta plak kemenangan.

Lukman Alhakim Abdullah (kiri sekali) menerima hadiah selaku johan Pertandingan Pidato 1Malaysia peringkat negeri Sabah 2013 daripada Haji Almain (dua dari kanan).

Juara Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia pula diraih oleh wakil dari Bahagian Pantai Barat Selatan yang terdiri daripada Jass Azliezan Jasili, Mohd Saqafi Jubar Khan dan Fandyi Sanizan Jurup yang membolehkan mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM 3,000, Laptop 1Malaysia serta plak kemenangan.

Para pemenang Pertandingan Pidato 1Malaysia dan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia peringkat negeri Sabah 2013.
Hadir sama pada pertandingan tersebut, Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Haji Almain Ajirul; Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Yunus Saprin; Wakil Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah (RTM); Abdul Razak Hamid serta ketua-ketua jabatan dan agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Sabah.-/PENERANGAN

MFM

53 Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan Menerima Sumbangan Ikhlas Daripada Pejabat SUP


Dato' Abu Bakar (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anggota perkhidmatan awam persekutuan

Dato' Abu Bakar (dua dari kanan) dan Isteri Datin Rabiyatul (kanak) serta tetamu jemputan yang hadir pada Majlis Berbuka Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Kota KinabaluSetiausaha Persekutuan Sabah, Dato' Abu Bakar Bin Hassan telah menyampaikan sumbangan ikhlas sempena bulan Ramadan kepada 53 anggota awam persekutuan dalam Majlis Berbuka Puasa Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan di sini, semalam.

Beliau berkata sumbangan ikhlas tersebut bertujuan untuk meringankan beban anggota perkhidmatan terdiri daripada kalangan ibu tunggal, anggota perkhidmatan yang kurang upaya dan yang kurang berkemampuan dalam perkhidmatan awam persekutuan.

Majlis Berbuka Puasa anjuran Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah yang menjadi majlis tahunanturut diserikan dengan  persembahan nasyid serta takzirah santapan minda yang disampaikan oleh penceramah jemputan daripada Mesir, Sheikh Dr Mohamed Abdelaziz Mahmoud Ghonim.


Turut hadir pada majlis Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib serta  Ketua-ketua Jabatan  dan agensi- agensi Persekutuan negeri Sabah.-/PENERANGAN

ZJ/MK


Pekemas Usaha Kenal Pasti Golongan Masyarakat Tercicir Daripada Arus Pembangunan


Halim (dua dari kanan) bergambar kenangan bersama Tun Haji Juhar (tengah) semasa kunjungan hormatnya di Istana Negeri

Anita (lima dari kiri) menyampaikan cendera kenangan daripada rombongan PEKEMAS kepada Tun Haji Juhar

KOTA KINABALU :  Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Miskin dan Kurang Upaya (PEKEMAS) akan menggerakkan usaha mengenalpasti golongan masyarakat terutama di kawasan pedalaman yang tercicir daripada arus pembangunan.

Presidennya, Tommy Oliver berkata usaha itu akan mengambilkira maklumat tepat mengenai golongan tersebut dan kemudian menyalurkannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin di Istana Negeri, pagi tadi.

Turut hadir Penasihat Kehormat persatuan berkenaan yang juga ADUN Tandek, Anita Baranting.

Terdahulu, Tun Haji Juhar menerima kunjungan hormat Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah, Halim Ahmad.

Halim yang sebelum ini bertugas di Bahagian Penyelidikan dan Perancangan, JAKIM Ibu Pejabat telah dilantik sebagai Pengarah JAKIM Cawangan Sabah bermula pada 1 Jun lalu menggantikan Aziz Haji Mohammad.

Kunjugannya terhadap Tun Haji Juhar selain memperkenalkan diri, beliau berhasrat mendapatkan perkenan Tuan Yang Terutama kepada JAKIM bagi mengadakan kerjasama serta penyelarasan program di antara agensi-agensi agama dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam perkembangan dakwah Islam di negeri ini./PENERANGAN-

ZA/NT

Majlis Bubur Lambuk Sempena Jelajah Ramadan RTM 2013


Hadi (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil penaja Majlis Bubur Lambuk sambil diperhatikan Jalani (kiri)

Hadi (tengah) bersama Jalani (kiri) dalam acara menggaul bubur lambuk


KOTA KINABALU: Jabatan Penyiaran Sabah (RTM) hari ini telah menyediakan sebanyak 6000 bungkus bubur lambuk dan bubur cha-cha untuk diagihkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Surau Batu Keramat Jalan Tuaran, surau-surau berhampiran, Jabatan Penjara, Puteri UMNO Papar dan warga kerja RTM.

Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Kerja Raya, Encik Hadi Kassim hadir di Majlis Bubur Lambuk yang diadakan sempena Program Jelajah Ramadan RTM Peringkat Negeri Sabah 2013 yang bermula pada 22 Julai di Tawau dan berakhir di Labuan pada 24 Julai ini.

Beliau yang mewakili Datuk Rosnah Haji Abdul Shirlin berkata program seumpama ini penting bagi mewujudkan hubungan kerjasama dan mengeratkan silaturahim semua pihak.

“Ini termasuklah kerjasama dan sumbangan daripada Beras Corporation Sdn. Bhd. (BERNAS), PETRONAS Dagangan Bhd, Swakaya Sdn. Bhd. dan semua yang terlibat menjayakan majlis ini,” kata beliau di sini, tengah hari tadi.

Majlis itu diakhiri dengan acara menggaul Bubur Lambuk bersama Hadi dan Pengarah Penyiaran Sabah, Abdul Jalani Mahmud.

Turut hadir sama Pengurus Kanan Modal Insan dan Hal Ehwal Korporat Beras Corporation Sdn. Bhd., Hajah Faridah Datuk Haji Abu Bakar Titingan./-PENERANGAN

KT/AM