Thursday, 25 July 2013

Hargai Pengorbanan Pasukan Keselamatan - Musa

Musa (dua dari kiri) menyerahkan kuih-muih Hari Raya Aidilfitri
 kepada pasukan PDRM yang diwakili oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Dato' Pahlawan Haji Hamza Taib (dua dari kanan) sambil disaksikan Yang Di-Pertua BAKISA, Datin Seri Panglima Hajah Faridah Haji Tussin (tengah), Sukarti (paling kiri) dan Maznah (paling kanan)

KOTA KINABALU : Rakyat di negeri ini diseru berterima kasih dan menghargai jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata tanpa pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasa, rakyat tidak akan dapat hidup dengan aman dan damai.

“Sebagai rakyat di negeri ini, kita harus bersyukur dan berterima kasih kepada pasukan keselamatan di atas jasa dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai,” katanya lagi.

“Tanpa mereka, kita tidak akan dapat hidup dalam keadaan yang aman dan damai ketika negara-negara luar seperti Syria dan Mesir sedang bergolak dan kucar-kacir," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri 2013 kepada anggota pasukan keselamatan di Menara Tun Mustapha, di sini, pagi tadi.

Menurut Musa, acara tahunan anjuran BAKISA itu sebagai tanda penghargaan khususnya daripada kerajaan negeri terhadap pengorbanan pasukan keselamatan. 

Penerima sumbangan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Briged Kelima Infantri Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), 2 Divisyen Udara, Angkatan Tugas Bersama 2, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Penjara Malaysia.

Kuih muih tersebut sumbangan 31 buah agensi kerajaan negeri, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan dan pertubuhan wanita. 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sukarti Wakiman dan isteri; Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Abu Bakar Hassan dan Timbalan SKN Sabah merangkap Pengerusi Penganjur, Datuk Maznah Abdul Ghani./PENERANGAN-

KT/AM/ZA

No comments:

Post a Comment