Wednesday, 24 July 2013

Warga Tentera 5 Briged Terima Sumbangan Aidil Fitri


Marcus (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Panglima 5 Briged (dua dari kiri)


KOTA KINABALU: Warga tentera 5 Briged Kem Lok Kawi hari ini menerima sumbangan sempena Hari Raya Aidil Fitri daripada Ahli Parlimen P. 173 Putatan, Datuk Dr Marcus Mojigoh, di sini, pagi tadi.

Sumbangan berupa kuih Raya dan seekor lembu diserahkan oleh Marcus kepada Panglima 5 Briged, Brigadier General Datuk Panglima Ranjit Singh Ramday pada majlis penyerahan itu.

Pada majlis itu Ranjit berkata, Aidil Fitri ini akan dapat disambut dengan meriah walaupun terdapat para anggotanya yang terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga masing-masing.

Katanya, terdapat anggota yang bertugas jauh di perbatasan kerana terlibat dengan operasi-operasi di pulau-pulau dan persempadanan negara demi mempertahankan kedaulatan negara dan menjamin keselamatan rakyat.

“ Satu batalion tentera sedang melaksanakan Operasi Pasir Selatan di kawasan Semporna dan Tawau, manakala satu batalion tentera dari 9 Briged, Sarawak sedang melaksanakan Operasi Balasah di sempadan Kalimantan, Keningau dan Long Pasia,” jelasnya lagi.

Pada majlis yang sama, Marcus dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada jasa dan pengorbanan anggota tentera terutama sekali dalam menangani kes pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu.

Marcus turut menyeru agar para anggota tentera muda yang masih berkhidmat agar melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dengan mengambil peluang terhadap kemudahan teknologi ICT yang tersedia pada masa kini.
    
Turut hadir, Pengerusi Bakat 5 Briged, Datin Pritam Kaur, pegawai memerintah dan pemerintah, bintara-bintara dan anggota tentera 5 Briged Kem Lok Kawi.-/PENERANGAN

KT/VM

No comments:

Post a Comment