Wednesday 31 July 2013

Penjawat Awam Negeri terima Bayaran Bantuan Khas Kewangan 2013

Musa ketika mengumumkan bayaran bantuan khas kepada kakitangan peringkat negeri pada sidang media  di pejabatnya tengahari tadi.

KOTA KINABALU: Penjawat awam negeri bermula jawatan Gred 1 hingga Gred 54 termasuk kakitangan sambilan di bawah lantikan Vot Terbuka layak menerima Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebelum Hari Raya Aidil Fitri akan datang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman memaklumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam itu membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM9,579,500.

Di samping bayaran bantuan khas itu, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk melaksanakan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) berkuat kuasa mulai 1 Julai 2013 bagi semua Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus selesai mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di pejabatnya, tengahari tadi.

“ Semua penjawat awam Negeri Sabah akan menerima dua kenaikan gaji tahun ini iaitu kenaikan gaji tahunan biasa dan pemberian pemindahan gaji dengan amaun satu Kenaikan Gaji Tahunan seperti yang dilaksanakan untuk penjawat awam Persekutuan,” katanya.

Tambahnya langkah itu selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ketiga Belas untuk menambah baik skim perkhidmatan awam dan struktur gaji anggota perkhidmatan awam.

Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM24juta bagi tempoh setahun dan memberi manfaat kepada 16,255 orang kakitangan yang sedang berkhidmat dalam pelbagai jawatan di pelbagai kementerian/jabatan negeri.

“Faedah dan manfaat ini akan diperolehi sepanjang tempoh perkhidmatan awam termasuk menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini,” katanya.-/PENERANGAN

KT/JF/ZJ

No comments:

Post a Comment