Tuesday, 20 August 2013

48 orang Pemimpin Kemajuan Rakyat Angkat Sumpah hari ini


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman menyeru agar semua Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) yang telah dilantik turun padang untuk mendekati rakyat bagi mendengar segala permasalahan yang dialami oleh mereka.

“Pelantikan sebagai Pemimpin Kemajuan Rakyat merupakan satu tanggungjawab yang penting untuk membawa perubahan bagi memberi manfaat kepada rakyat di kawasan masing-masing,” Musa berkata demikian pada Majlis Angkat Sumpah Pemimpin Kemajuan Rakyat di Wisma Innoprise, petang tadi.

Tambahnya, adalah menjadi tanggungjawab PKR untuk mempertahankan apa juga tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap kerajaan.

“Pemimpin Kemajuan Rakyat yang dilantik merupakan mata dan telinga kepada wakil rakyat yang menerima mandat daripada rakyat.

“Oleh itu, semua PKR haruslah menggunakan rangkaian mereka untuk menjelaskan tentang semua program pembangunan yang telah dibawa oleh kerajaan di peringkat akar umbi,” katanya.

Berhubung dengan kemajuan teknologi moden yang membawa kepada arus perubahan senario politik pada masa kini, Musa turut mengingatkan kepada semua Pemimpin Kemajuan Rakyat yang dilantik agar tidak ketinggalan dalam menggunakan platform media sosial untuk menyampaikan maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan.

Upacara Angkat Sumpah Pemimpin Kemajuan Rakyat diketuai oleh Abdan Bin Abdul Majid bagi kawasan N.1 Banggi diikuti seramai 47 orang Pemimpin Kemajuan Rakyat yang lain.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sukarti Hj Wakiman, Menteri-Menteri, Pembantu-pembantu Menteri dan wakil-wakil rakyat.-/PENERANGAN

No comments:

Post a Comment