Saturday 17 August 2013

Majlis Hi-Tea Kejohanan Golf Amal Silaturahim sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri YaPEIM Negeri Sabah


KOTA KINABALU: Sekitar 15,000 rakyat di Sabah telah memperolehi manfaat dari program-program yang diperkenalkan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Antaranya ialah Program Kelab MASA (Kelab Sahabat Ar Rahnu), Program Skim Kecemerlangan Pelajar-pelajar Nasional (SANTUN)  dan program kebajikan iaitu Skim Khairat Nasional dan Program Sinar Kasih, rakyat Sabah telah mendapat pelbagai faedah daripadanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman memuji usaha dan peranan yang dimainkan oleh YaPEIM dalam aspek membasmi kemiskinan, membangun keusahawanan, membina kecemerlangan komuniti dan menyantuni kebajikan masyarakat, melalui pelbagai program besar yang ternyata memberi impak positif terhadap sosio ekonomi khususnya rakyat Sabah.

"Saya mengalu-alukan kehadiran YaPEIM di negeri Sabah untuk meneruskan peranannya bagi membantu mereka yang memerlukan," kata beliau semasa ucapan perasmian Majlis Hi-Tea Kejohanan Golf Amal Silaturahim sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri YaPEIM Negeri Sabah, di sini, petang tadi.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B) dalam ucapan khasnya berkata Majlis Hi-Tea dianjurkan oleh YaPEIM hari ini sebagai sebahagian daripada acara sambutan Ulang Tahun YaPEIM yang ke-29.

"Sesungguhnya Ulang Tahun YaPEIM Ke-29 ini sekaligus memberi gambaran bahawa telah 29 tahun YaPEIM hadir memberi sumbangan dan khidmat bakti kepada masyarakat dan negara," kata beliau.

Dalam pada itu, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahirudin dan isteri, Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Datuk R.M Jasni hadir sebagai tetamu kehormat seterusnya telah berkenan menyampaikan sumbangan YaPEIM kepada mereka yang memerlukan dan pemenang-pemenang Kejohanan Golf Amal Silaturahim YaPEIM.

Turut hadir sama, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Haji Tawfiq bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan dan Ketua Pengarah YaPEIM, Dato' (Dr) Hj. Abdul Malek Awang Kechil.-/PENERANGAN

No comments:

Post a Comment