Thursday 22 August 2013

Kibar Jalur Gemilang Lambang Patriotisme

MERDEKA...laungan merdeka oleh Kamarlin (tengah) bersama Penolong Pegawai Penerangan Bahagian Pedalaman Bawah, Zulhanin Hasni (dua dari kiri), Pegawai Penerangan Daerah Beaufort, Haji Sarah Bulindan (paling kiri) serta penduduk kampung yang menerima jalur gemilang

BEAUFORT : Premis kerajaan disaran mengibarkan jalur gemilang sebagai lambang semanagat patriotisme rakyat kepada negara ini tanpa mengharapkan bendera yang dibekalkan.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri Lumadan, Datuk Kamarlin Ombi berkata semua seharusnya mengambil inisiatif masing-masing untuk mengibarkan bendera tersebut sebagai tanda sokongan serta semangat patriotik rakyat terhadap negara ini.
 
"Mereka tidak perlu menunggu bendera yang biasa dibekalkan, sekiranya ingin menunjukkan semangat patriotik mereka boleh membelinya dan kibarkan sempena bulan kemerdekaan ini.
 
"Lambang kebesaran sesebuah negara ialah pada benderanya, jadi peranan mengibarkan bendera itu terletak pada semua lapisan masyarakat sebagai tanda sokongan yang padu kepada kepimpinan negara dan keamanan yang kita nikmati," katanya pada Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang 2013 di Pekan Weston, pagi tadi.
 
Menurutnya, semangat patriotisme pula bukan hanya pada bulan kemerdekaan tetapi perlu berterusan dan masyarakat juga perlu bersyukur atas nikmat kemerdekaan sejak 56 tahun lalu.
 
Katanya, kunci kemerdekaan ialah bersatu padu antara semua kaum di negara ini, oleh itu masyarakat diseru mengekalkan keharmonian perpaduan itu.
 
Pada majlis itu, Kamarlin turut menyerahkan jalur gemilang kepada wakil sekolah-sekolah, kelab motor Weston, wakil masjid, kampung dan premis perniagaan di sekitar pekan berkenaan sebelum melepaskan konvoi Kembara Jalur Gemilang (KMJG) yang bergerak mengelilingi Dearah Beaufort.
 
Turut berlangsung, acara pemakaian topi keledar sumbangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) oleh Kamarlin kepada 20 orang ahli Kelab Motor Weston yang menyertai konvoi KMJG. /PENERANGAN-

No comments:

Post a Comment