Sunday 11 August 2013

Kempen Pelancaran Kawalan Tikus Peringkat Kebangsaan pada 24 Ogos 2013

Rahman bersalaman dengan sekumpulan pelancong daripada Jerman yang hadir untuk merasai suasana rumah terbuka Aidilfitri.
KOTA KINABALU: Kempen Pelancaran Kawalan Tikus Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 24 Ogos 2013 yang  bakal dilancarkan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Y.B. Dato' Abdul Rahman Dahlan di Kota Kinabalu.

"Kempen ini juga akan dilancarkan serentak di bandar-bandar utama seluruh Malaysia," kata beliau semasa ditemui wartawan di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di kediaman rasminya, di sini, hari ini.

Menurut beliau, kempen ini penting kerana masih ramai orang yang tidak menyedari betapa bahaya penyakit kencing tikus atau Leptospirosis yang boleh menyebabkan maut.

Jelas beliau, punca wabak ini adalah daripada tikus-tikus yang berkeliaran di merata tempat terutama di kawasan persekitaran perumahan dan premis yang kotor dan sebagainya.

"Melalui kempen ini akan memberi kesedaran cara hendak mengawal wabak ini dan yang paling utama adalah cara penjagaan kebersihan di persekitaran kita," tambah Rahman.

Dalam pada itu, majlis rumah terbuka Aidilfitri ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran 
tetamu kehormat iaitu 
Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan isteri, Datin Seri Panglima Hajjah Faridah Haji Tussin.

Pada majlis tersebut, turut diadakan penyampaian sumbangan raya kepada 55 orang penghuni Rumah Darul Bakti, Kota Belud yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah.

Antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis tersebut, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak, Ahli-ahli Undangan Negeri Sabah dan disertai ribuan pengunjung di sekitar Kota Kinabalu.-/PENERANGAN

EK/JJ

No comments:

Post a Comment