Monday 26 August 2013

DI SINI... BERMULA KONVOI KMJG 2013


Di sini....Sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-56, Jabatan Penerangan Malaysia terus menggalas peranan menyemarakkan rasa cinta negara di kalangan rakyat menerusi program tradisinya, Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) dan Kempen Kibar Jalur Gemilang.

Berbeza dengan penganjuran sebelumnya, kali ini program konvoi diadakan mengikut bahagian secara berjadual ke destinasi serta aktiviti dengan para pemimpin masyarakat masing-masing.

Bermula pada 21 Ogos lalu, majlis pelancaran kempen dan konvoi KMJG 2013 itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Haji Ahmad di Esplaned Sipitang.

Di sini..terdapat 70 buah kenderaan yang mengambil bahagian dalam konvoi berkenaan dengan jumlah penyertaan tidak kurang daripada 2,000 orang yang terlibat secara langsung dalam program tersebut.

Sebelas lokasi menjadi destinasi konvoi iaitu SK Matintaman, Masjid Kg Pantai, Gereja Kg Ranau-ranau, SK Sindumin, Balairaya Kg Siputol, SK Banting, Balairaya Kg Batu 7, Kg Guruh-guruh, Pekan Mespol, Sekolah Ugama Islam Kg Naluyan dan SK Kg Melalia.

Berucap merasmikan majlis tersebut Sapawi menyeru selain peranan ibu bapa, generasi muda juga mesti menyemai semangat patriotik dalam diri sebagai benteng kepada cabaran globalisasi.

Sementara itu, Pengarah Penerangan Sabah, Haji Almain Ajirul berkata program tersebut bukan hanya memfokus kepada kempen mengibar jalur gemilang semata-mata sebaliknya menyemai rasa cinta dan semangat bersatu-padu dalam mempertahankan negara sesuai dengan tema Hari Kemerdekaan ”Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku”.

Pada 22 Ogos, konvoi KMJG 2013 berada di Daerah Beaufort dan majlis pelepasan dibuat di Pekan Weston oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Kamarlin Ombi.

Di sini...sambutan sangat meriah dengan lebih 10 buah motosikal ahli Kelab Motor Weston menyertai konvoi yang bergerak mengelilingi Pekan Beaufort. Turut diadakan, sambutan konvoi di Sekolah Ugama Islam Rancangan Klias yang dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sabah, Haji Abdul Manap Lakariba.

Keesokkan harinya, konvoi berada di Padang Pekan Kuala Penyu dan majlis pelepasan dilakukan oleh ADUN Kuala Penyu, Limus Jury. Konvoi menjelajah ke pekan berkenaan sehingga ke Pekan Menumbok.

Di sini...paling membanggakan, golongan muda turut hadir memberikan sokongan terhadap kempen ini. Terdapat 10 buah kenderaan dari pelbagai jabatan turut serta dalam konvoi itu.

Konvoi terus bergerak ke Daearah Papar melengkapi empat buah daerah di Bahagian Pedalaman Bawah negeri ini.

Majlis pelepasan dilaksanakan oleh ADUN Pantai Manis, Datuk Haji Abdul Rahim Ismail di Taman OKK Mahali. Disertai 10 buah kenderaan daripada pelbagai jabatan, konvoi mengunjungi Komuniti 1 Malaysia (K1M) Mukim Benoni, Kem PLKN Ovai dan K1M Mukim Pengalat.

Di sini...sambutan hangat masyarakat setempat mengalu-alukan kehadiran konvoi di tempat mereka. Kediaman, premis perniagaan dan pejabat-pejabat rata-rata telah mengibarkan jalur gemilang.

Sebagai destinasi penutup program konvoi di daerah itu, Pegawai Daerah, Iman Ali ketika berucap merasmikan majlis berkenaan turut menyeru masyarakat menjadi warga negara yang bertanggungjawab dan memberi sokongan padu terhadap semua cita-cita negara.

Program konvoi diteruskan di Bahagian Sandakan, Pedalaman Atas, Pantai Barat Selatan, Tawau dan Pantai Barat Utara.

Oleh itu, masyarakat setempat disaran terus mengibarkan jalur gemilang sehingga 16 Ogos dan nantikan kedatangan konvoi KMJG di daerah anda./PENERANGAN-

No comments:

Post a Comment