Saturday 7 September 2013

1,000 Orang Sertai Larian Hari Malaysia MAKSAK 2013

Sukarti (paling kanan) melakukan pelepasan peserta Larian Hari Malaysia MAKSAK 2013
KOTA KINABALU :  Lebih 1,000 peserta mengambil bahagian dalam program Larian Hari Malaysia MAKSAK 2013 yang dianjurkan oleh Kelab Rekreasi dan Kebajikan (REKA) Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri dengan kerjasama Majlis Kebajikan dan Rekreasi Kakitangan Negeri Sabah (MAKSAK) di sini, pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah merangkap Yang di-Pertua MAKSAK Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman berkata acara larian yang julung kali diadakan dalam sejarah MAKSAK bertujuan membentuk anggota perkhidmatan awam yang sihat dan bersemangat dalam menjalankan tugas seharian.

Katanya, program seumpama itu mampu menyemarakkan lagi budaya bersukan dan menerapkan sikap mementingkan penjagaan kesihatan dalam kalangan anggota perkhidmatan awam khasnya.

Menurut Sukarti, program yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Malaysia itu menyediakan wadah khususnya kepada rakyat Sabah untuk menghayati segala nikmat kemerdekaan yang dikecapi.

“Penyertaan bersama oleh pelbagai lapisan masyarakat dalam program ini merupakan satu simbolik kepada keharmonian dan keutuhan perpaduan yang kita miliki dalam sebuah negara yang merdeka,” katanya.

Pelepasan peserta bagi acara larian yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu disempurnakan oleh Sukarti dan pada majlis penyampaian hadiah, beliau turut menyampaikan sumbangan untuk Tabung Perwira Negeri Sabah dan Tabung Kebajikan Negeri Sabah.

Lapan kategori larian yang dipertandingkan iaitu veteran wanita dan lelaki 41 tahun ke atas, pelajar wanita dan lelaki (Menengah), pelajar perempuan dan lelaki (Rendah) serta Terbuka wanita dan lelaki.

Johan, tempat kedua dan tempat ketiga bagi kategori dewasa, masing-masing menerima RM500, RM300 dan RM200 manakala bagi kategori pelajar menerima RM300, RM200 dan RM100.

Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah merangkap Naib Yang Dipertua MAKSAK (Sukan), Datuk Amri Suratman dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merangkap Naib Yang Dipertua MAKSAK (Rekreasi dan Sosial), Datuk Yeo Boon Hai.-/PENERANGAN

No comments:

Post a Comment