Tuesday 10 September 2013

RM 7,000 Nanti Pemenang Anugerah TYT 1 Oktober Ini

Tun Haji Juhar (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama rombongan LKS
KOTA KINABALU : Wang tunai sebanyak RM7,000 menanti pemenang Karya Pilihan Tahunan Negeri Sabah Kali Ke-28 dalam kategori khas Anugerah Tuan Yang Terutama sempena sambutan 50 Tahun Sabah merdeka dalam Malaysia, pada 1 Oktober ini.

Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKS), Datuk Seri Panglima Wences Anggang berkata, anugerah tersebut merupakan hadiah utama bagi peserta-peserta pertandingan berkenaan.

“Pada tahun ini, sempena dengan sambutan 50 tahun Sabah merdeka dalam Malaysia, pihak penganjur mengadakan satu anugerah khas iaitu Anugerah TYT berupa wang tunai RM7,000.

“Hadiah lumayan juga menunggu pemenang Karya Utama iaitu RM6,000 di samping hadiah-hadiah bagi setiap kategori.

“Pemenang Kategori A (menengah rendah) akan membawa pulang RM600, Kategori B (menengah atas) menerima RM800 dan Kategori C (terbuka) pula menerima RM3,000,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, pagi tadi.

Pertandingan yang disertai 400 penyertaan itu merangkumi enam bahagian di negeri ini yang kemudiannya diadili di peringkat negeri dengan 10 karya terbaik mewakili setiap kategori.

Majlis penyampaian hadiah itu akan diadakan di Hotel Shangri-La Tanjung Aru dan merupakan acara tahunan sempena Hari Jadi Rasmi TYT Yang Ke-60 pada tahun ini.

Turut hadir Lembaga Pengarah LKS, yang juga Ahli Dewan Negara, Senator Dr Lucas Umbul; Pengurus Besar, Datu Rosmadi Datu Sulai dan para pegawai kanan dari Jabatan Pendidikan, Balai Seni Lukis dan LKS.

Turut membuat kunjungan hormat ialah Pesuruhjaya SUHAKAM Sabah, Nordin Kasim Madating dan rombongan.

Kunjungan bagi memperkenalkan barisan kepimpinan yang baharu dan memaklumkan program-program suruhanjaya berkenaan.

Menurut Nordin, pihaknya akan mengadakan forum mengenai hak pendidikan untuk kanak-kanak kurang upaya pelajaran yang akan diadakan di Hotel Promenade dan akan dirasmikan oleh Penegerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam, pada 23 September ini.

“Selain itu, SUHAKAM turut menganjurkan seminar mengenai perkhidmatan penjagaan warga tua dan sokongan untuk penjaga, di tempat yang sama pada 24 September ini,” tambah beliau./PENERANGAN-

No comments:

Post a Comment