Wednesday, 25 September 2013

TYT dan Toh Puan Hadiri Malam Apresiasi Merdeka

Tun Haji Juhar dan Hajah Norlidah merakamkan gambar kenangan bersama tetamu kehormat yang hadir pada majlis itu.
KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin dan Isteri Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Datuk RM Jasni telah berkenan menghadiri Majlis

Malam Apresiasi Merdeka anjuran Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah dan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah sempena sambutan 50 tahun Sabah Maju Jaya dalam Malaysia di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sabah, malam tadi.

Malam Apresiasi Merdeka tersebut dianjurkan sebagai satu wahana bagi menzahirkan penghargaan, sokongan, rakaman hati dalam bentuk deklamasi sajak, pengisahan, monodrama, pantomin, lagu puisi dan lagu rakyat yang dicanai dalam satu pakej aneka persembahan yang disajikan pada Malam Apresiasi Merdeka tersebut.

Pada persembahan tersebut, para tetamu dihiburkan dengan persembahan pentas melalui tiga segmen iaitu segmen sebelum merdeka, segmen merdeka dan segmen pasca merdeka.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Jainab Ahmad Ayid yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Abu Bakar Hassan; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman, beberapa pembantu menteri kabinet Sabah serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.-/Penerangan 

No comments:

Post a Comment