Saturday 7 September 2013

Tawfiq Rasmikan Pelepasan Konvoi KMJG Daerah Tawau

Pelepasan konvoi oleh Tawfiq
TAWAU : Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.56 Apas, Datuk Haji Tawfiq Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan telah merasmikan Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2013 Peringkat Daerah Tawau di Padang Bandaran, Tawau, di sini, pagi tadi.

Daerah Tawau merupakan daerah terakhir bagi program konvoi KMJG selepas Majlis Pelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah 2013 telah dirasmikan oleh Exco Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Sapawi Haji Ahmad pada 21 Ogos yang lalu di daerah Sipitang.

Konvoi itu juga turut disertai oleh beberapa buah  kereta antik serta 122 buah motorsikal pelbagai kuasa bagi mengiringi konvoi tersebut mengelilingi Bandar Tawau hingga ke Merotai, Tawau.

Sementara itu, di venu yang sama, lebih kurang dua ribu orang warga Tawau yang kebanyakannya merupakan golongan belia telah menyertai Program Larian Patriotik Sempena Perayaan 50 Tahun Sabah Maju Jaya Dalam Malaysia anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Majlis Perbandaran Tawau.

Program tersebut diadakan bagi memupuk semangat cintakan negara disamping mengamalkan kehidupan yang sihat dan cergas.

Turut hadir dalam majlis pelepasan konvoi KMJG 2013 tersebut, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Datuk Ismail Mayakob ; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Sabah, Raymie Amiril yang mewakili Pengarah Jabatan Penerangan Sabah serta Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Laja Besar Haji Lulok.-/PENERANGAN

No comments:

Post a Comment