Thursday, 19 September 2013

JPAM Hargai Media Dan Kenang Jasa Anggota

Sumbangan JPAM…Selamat (tengah) ketika menyerahkan sumbangan kepada wakli keluarga anggota JPAM  yang terkorban semasa bertugas disaksikan oleh Mulliadi (kiri)
KOTA KINABALU – Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan  Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Y.A.S. TPj.(PA) Hj. Selamat Bin Hj. Dahalan berkata sokongan dan kerjasama antara JPAM dan Media Massa telah memperkukuhkan peranan dan perkhidmatan JPAM di negara ini. 
‘Selain berperanan menyebarkan maklumat kepada umum,  media massa juga berperanan dalam membantu JPAM memperkukuhkan sistem penyampaian dan kesiapsiagaan JPAM dalam menyalurkan perkhidmatan kecemasan dan bencana di negara ini,'katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penghargaan Warga JPAM dan Malam Jalinan Kasih Bersama Media di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.
‘ Ianya membuktikan bahawa pihak media sentiasa bersama JPAM sebagai salah satu pendekatan dan usaha berterusan dalam menyebarkan informasi terkini berkaitan isu-isu kecemasan, bencana dan keselamatan yang melibatkan kepentingan masyarakat sejagat di negeri dan negara yang bertuah ini.’ katanya
Terdahulu Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sabah, Lt. Kol. Mulliadi Al-Hamdi Bin Ladin dalam ucapanya berkata pihak Jabatan tidak pernah meminggirkan atau mengenepikan kebajikan anggotanya  yang tercedera atau terkorban semasa bertugas.
Katanya, kerajaan melalui Jabatan amat menjaga dan mementingkan kebajikan warganya. Bagi mengenang jasa dan pengorbanan mereka, Kementerian Dalam Negeri, Bahagian Hal Ehwal Bekas Anggota Polis dan Penjara telah dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia dan memproses setiap permohonan Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) jika  berlaku  musibah atau kecelakaan semasa bertugas.
Pada majlis tersebut dua wakli anggota JPAM yang terkorban  semasa bertugas  telah menerima sumbangan TAPPN masing-masing mewakili Allahyarham SK Jawawi bin Jahamin dan Mendiang L/Kpl. Terrence Mazilin.
Manakala sumbangan Tabung Kebajikan Pertahanan Awam (TAPA) bagi anggota terlibat dalam kemalangan dan tercedera semasa penugasan diberi kepada Pbt. Jobbairun bin James.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Merangkap Komandan Kor-SISPA Universiti Malaysia Sabah Prof. Madya Datuk Dr. Haji Kassim Bin Haji Md. Mansor, Timbalan Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sabah Mej. Mohd Rosman Bin Abdullah serta wakil-wakli media massa.-/PENERANGAN

No comments:

Post a Comment