Thursday 26 September 2013

Zon Tengah Juara Pesta Sukan RTM Ke-10

Keterangan gambar: Kelihatan..Musa menerima cendera kenangan daripada Abdul Wahid (kiri) sambil diperhatikan oleh Jalani (kanan sekali).
KOTA KINABALU: Kontinjen Zon Tengah telah dinobat sebagai juara keseluruhan bagi Pesta Sukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) kali ke -10 yang diadakan di Kota Kinabalu sejak 22 September yang lalu.

Upacara penyampaian piala pusingan kepada para pemenang telah diadakan pada Majlis Penutupan Pesta Sukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke -10 Sabah 2013 di Dewan MAKSAK, Likas, malam tadi.


Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.


Semasa berucap pada majlis tersebut, beliau bangga dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh warga RTM dalam menjayakan pesta sukan tersebut disamping ia mengeratkan lagi semangat perpaduan, kekitaan dan kekeluargaan khususnya dalam kalangan warga RTM.


“Tentunya kesempatan seperti ini juga memberikan ruang dan peluang kepada warga RTM dari seluruh negara untuk melihat sendiri kepesatan pembangunan dan kemajuan di negeri Sabah”, kata Musa.

Justeru, beliau amat mengalu-alukan pemilihan Sabah sebagai tuan rumah kepada temasya sukan RTM untuk edisi kali ini dan sememangnya negeri Sabah akan terus menjadi tumpuan penganjuran pelbagai aktiviti sama ada seminar, forum mahupun acara-acara sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Seramai 540 peserta yang terdiri daripada Zon Sabah, Zon Sarawak, Zon Timur, Zon Tengah, Zon Utara dan Zon Selatan telah mengambil bahagian pada pesta sukan tersebut dimana sebanyak 11 acara sukan telah dipertandingkan.

Daripada 11 acara tersebut, Zon Tengah yang diwakili oleh kakitangan RTM Angkasapuri Kuala Lumpur, telah berjaya memenangi 7 acara, 3 acara pula menjadi milik Sarawak manakala tuan rumah Sabah berjaya memenangi 1 acara sukan pada pesta sukan yang dianjurkan dua tahun sekali itu.


Turut hadir, Pengerusi Majlis Sukan RTM, Haji Abdul Wahid Abdul Hamid dan Pengarah RTM Sabah, Abdul Jalani Mahmud serta ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Sabah.-/PENERANGAN

No comments:

Post a Comment