Saturday 7 September 2013

Bersama Pertahankan Martabat Seni Warisan Budaya

Rasmi Betitik …Almain ( tiga dari kanan) dan Awang Saifudin (tiga dari kiri)  bersama melancarkan Festival Betitik Sabah pada majlis tersebut
KOTA KINABALU:  Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Tuan Haji Almain Bin Ajirul berkata tugas dan tanggungjawap mempertahankan seni warisan bangsa perlu dipikul bersama termasuklah  golongan muda kerana merekalah pewaris yang akan menjulang dan memartabatkan seni warisan budaya pada masa hadapan.

‘Kemerdekaan yang dikecapi hari ini tidak bererti sekiranya kita terus terikut-ikut dengan seni budaya negara  luar. Andai kita terus terikut-ikut dengan budaya luar, sudah pasti seni  budaya warisan bangsa yang kita sanjung selama ini akan lenyap ditelan zaman dan hanya tinggal sejarah’. Katanya,

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pelancaran Festival Betitik Sabah 2013 Sempena Sambutan 50 Tahun Sabah Maju Jaya Dalam Malaysia anjuran Komuniti 1 Malaysia Kampung Ulu/Ulu Putatan bertempat di Dataran Golden Center, Putatan malam tadi.

Tambahnya sekiranya kita dapat pertahankan seni warisan bangsa  berlandaskan semangat kemerdekaan dan gagasan 1Malaysia sudah pasti  kelangsungan  seni budaya kita akan terus berkembang sekaligus menjadi instrument bernilai  dalam menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Sambil merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada ahli jawatankuasa penganjur yang berjaya menganjurkan festival Betitik  2013 untuk kali ke enam,  beliau berharap festival ini terus dikekalkan sebagai wadah dalam mempertabatkan muzik betitik menjadi alat muzik tradisional yang diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Festival Betitik yang berlangsung selama tiga hari ini antara lain menyaksikan Pertandingan Bertitik yang  dibahagikan kepada tiga  kategori antaranya, Bertitik Variasi Lagu Asal, Betirik Variasi rentak berlainan dengan Lagu Asal dan Betitik Kreatif yang rentaknya telah dimodenkan.  Festival turut dimeriahkan dengan pertandingan Lagu-lagu Bajau, Pertandingan Pakaian Tradisional dan Mewarna bagi kanak-kanak  serta Pertandingan Tarian Tradisional pelbagai kaum .

Turut hadir, Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Kampung Ulu/ Ulu Putan merangkap Pengarah Urusan Festival Betitik Sabah, encik Awang Saifudin Haji Jumat,  Penolong Pegawai Daerah Putatan, encik Hassan Haji Mahali serta Ketua Daerah Putatan, OKK Yahya Ahmad Shah.-/PENERANGAN

No comments:

Post a Comment