Wednesday, 4 September 2013

Lafaz Ikrar & Aku Janji Siswa/Siswi UMS Baru

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman menegaskan bahawa kerajaan Negeri akan terus komited dan bekerjasama dalam membantu segala usaha ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara.

Kata beliau, sejak kewujudan UMS di negeri Sabah, pembangunan dan kemajuan negeri ini bergerak seiring demi menampung keperluan-keperluan ekonomi dan sosial pelajar. 

Tambahnya, implikasi positifnya juga telah memberi nilai tambah dan peningkatan taraf hidup dan ekonomi masyarakat sekitarnya.

"Pendek kata, UMS telah menjana satu transformasi pembangunan yang sangat pesat dalam tempoh yang sangat pantas di negeri Sabah," kata beliau semasa menyampaikan amanat pada Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Mahasiswa Baru UMS di sini, pagi tadi.

Baru-baru ini UMS telah menerima seramai 4,954 orang pelajar baharu dengan 137 orang daripadanya merupakan pelajar antarabangsa.

Terdahulu Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata UMS telah mengadakan sebuah program mekanisme mod kemasukan baharu bagi isi rumah 40 peratus yang memfokuskan pelajar miskin bagi sesi kemasukan kali ini telah dijalankan oleh UMS di seluruh negeri Sabah.

"Program ini merupakan salah satu agenda Corporate Social Responsibility (CSR) UMS yang memberikan peluang dan ruang untuk pelajar terbabit melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, usaha sebegini akan diteruskan dari masa ke semasa kerana UMS sentiasa menyahut seruan dan hasrat murni kerajaan dalam membantu komuniti dan masyarakat setempat agar taraf hidup golongan kurang berkemampuan dapat ditingkatkan melalui pendidikan./-PENERANGAN

No comments:

Post a Comment