Wednesday 4 September 2013

Konvoi KMJG 2013 Daerah Lahad Datu Dekati Masyarakat Kampung Tanjung Labian

Kelihatan…Raymie (dua dari kanan) menyampaikan titik sentuhan kepada salah seorang warga emas di Kampung Tanjung Labian, sambil diperhatikan oleh Assaffal (kanan sekali).
LAHAD DATU: Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2013 bagi Daerah Lahad Datu telah memulakan pengembaraan mereka pagi tadi, yang mana pengembaraan konvoi tersebut telah memilih Kampung Tanjung Labian di Felda Sahabat sebagai destinasi  bagi menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan ini sekaligus   mendekati nadi rakyat khususnya para penduduk di luar bandar.

Dengan membawa misi utama iaitu mengalakkan ahli masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang sempena menyambut 56 tahun hari kemerdekaan tanah air kita yang tercinta, namun peluang bertemu dan mendekati masyarakat di Kampung Tanjung Labian merupakan saat-saat manis yang tidak dapat dilupakan semasa kembaraan tersebut berlangsung.

Konvoi yang telah disertai oleh 30 buah unit kenderaan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan di daerah Lahad Datu telah dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan N.50 Lahad Datu, Dato’ Haji Mohd Yusof Haji Apdal di Dataran Palma, Bandar Lahad Datu, pagi kelmarin.

Justeru langkah Jabatan Penerangan Malaysia melalui program tahunan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2013 adalah langkah positif dalam menyahut saranan Perdana Menteri agar turun padang menyelusuri setiap pelosok negeri bertemu dan mendampingi masyarakat.

Setibanya konvoi KMJG 2013 ke Kampung Tanjung Labian, para peserta konvoi berasa sungguh terharu dengan sambutan yang meriah oleh masyarakat Kampung Tanjung Labian serta dedikasi yang ditunjukkan oleh anggota tentera dalam memastikan keselamatan para ahli konvoi dan masyarakat kampung sentiasa terpelihara.

Pengerusi Komuniti 1Malaysia Zon Labian, Assaffal Haji Aliaan ketika berucap menyambut kunjungan konvoi berkata, masyarakat kampung tersebut amat berbesar hati dengan kunjungan konvoi KMJG 2013 yang julung kali diadakan di kampung mereka.

“Ini memberikan semangat kepada kami lebih-lebih lagi dalam menyemarakkan semangat patriotisma dan jati diri di kalangan penduduk Kampung Tanjung Labian tanpa memikirkan apa yang telah terjadi dalam insiden pencerobohan Lahad Datu oleh para pengganas suluk yang melibatkan kampung mereka tempoh hari”, katanya lagi.

Beliau juga berharap agar kunjungan konvoi tersebut menjadi pencetus semangat kepada masyarakat kampung itu agar pentingnya semangat cintakan Negara dan pada masa yang sama menyahut kempen kerajaan untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

Para peserta konvoi selepas itu bersama-sama masyarakat kampung serta para anggota tentera terdiri daripada Batalion 1 Rejimen Renjer Diraja (RRD) Kem Ulu Tiram, Johor, yang diketuai oleh Pegawai Pemerintahnya, Leftenan Kolonel Hamadi Haji Hassan, turut sama mengadakan sukaneka seperti tarik tali,pertandingan makan putu dan lain-lain bagi merapatkan lagi tali silatulrahim.


Turut menyertai konvoi tersebut, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Sabah, Raymie Amiril serta Pegawai Penerangan Daerah Lahad Datu, Majin Haji Amping.-/PENERANGAN

No comments:

Post a Comment