Friday 27 September 2013

Kerajaan Sabah Galak Penganjuran Program Ilmu: Musa

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah sentiasa menggalakkan dan menyokong penganjuran program-program yang menyumbang kepada penyuburan tradisi ilmu dan perkembangan syiar islam.

Bagi menjayakan usaha tersebut pada setiap tahun kerajaan negeri menyalurkan peruntukan yang besar dalam aspek pembangunan agama, pendidikan dan kecermerlangan ilmu dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata demikian ketika menjadi tetamu kehormat pada Majlis Forum Perdana Ehwal Islam yang di adakan di Dewan Saadah, Wisma Muis, di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin.

Menurut Musa lagi, beliau yakin bahawa masyarakat di negeri ini khususnya umat islam seperti juga di negeri-negeri lain memang meminati dan setia mengikuti majlis-majlis ilmu seperti Forum Perdana ini dan mereka juga mengharapkan agar ia diadakan selalu bagi menyumbang kepada kemajuan tradisi ilmu sekaligus melahirkan masyarakat berilmu serta bertamadun.

Musa juga menyarankan agar para pendakwah untuk keluar daripada kaedah konvensional kepada gerak kerja dakwah yang lebih kreatif dan berinovasi bagi mendekati generasi muda yang merupakan generasi pewaris pada masa akan datang.

“Kejayaan kita menganjurkan aktiviti yang boleh menarik kehadiran golongan muda sudah tentu akan menjadikan mereka kumpulan yang menyumbang secara signifikan kepada kejayaan misi dan visi badan-badan dakwah di Negara kita”, tambah beliau lagi.

Majlis Forum Perdana Ehwal Islam tersebut merupakan anjuran Yadim Zon Sabah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) serta TV Al-Hijrah.


Dua orang panel undangan iaitu Yang Di-pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr. Asyraf Wajdi Haji Dato’ Dusuki serta Ketua Jabatan Pengajian Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya Sabah, Dr. Rapihi Derim manakala Ustaz Mohd Jumat Abd. Razak dari Pejabat Mufti Sabah menjadi moderator bagi forum itu yang mengupas tajuk “Indahnya Syariat Cantiknya Muafakat”.


Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Baharom; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Salleh Tun Haji Mohd Said; Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan; Pengarah JHEAINS Sabah, Datuk Amri A. Suratman serta pembantu-pembantu menteri kabinet Sabah.-/PENERANGAN

No comments:

Post a Comment