Tuesday 24 September 2013

Program Syarahan Umum 2013 Sempena Jubli Perak Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA)


KOTA KINABALU: Program Syarahan Umum 2013 sempena sambutan Jubli Perak Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) telah diadakan di Wisma Wanita, kelmarin.

Program syarahan umum itu menampilkan Penyandang Kursi Kepimpinan Wanita bertaraf dunia, Profesor Dr. Louise Morley didatangkan khas daripada Universiti Sussex, United Kindgom dengan syarahannya yang bertajuk “Lost Leaders: Women In The Global Academy”.

Majlis yang bermula pada jam 10 pagi itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ahmad Ayid.
Jainab berkata JHEWA dan MPWS akan menyemak semula Pelan Pembangunan 10 Tahun Wanita Sabah tidak lama lagi.

Justeru, beliau berharap kumpulan pemikir-pemikir wanita tempatan tampil ke hadapan untuk menyumbangkan ilmu dan pengalaman dalam meneliti semula perancangan ke arah kecemerlangan negeri Sabah.

Terdahulu,Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah, Datuk Hajah Mariati Robert berkata program itu antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada wanita Sabah mendengar dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman dengan para ahli ilmuan.

Katanya, program anjuran bersama Pusat Kepimpinan Wanita (PKW) Tun Fatimah Hashim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diterajui oleh Pengarahnya, Profesor Madya Madeline Berma itu adalah sebahagian daripada kerjasama dalam usaha melahirkan wanita berwibawa selaras dengan tema sambutan Jubli Perak iaitu ‘Wanita Sabah Memacu Kecemerlangan’.

Turut hadir, Pengarah JHEWA, Datuk Siti Sapo Hj Ahok; Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program, Datuk Siti Aisah Mohd Asri dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara, Kampus Kota Kinabalu, Profesor Madya Hajah Rosdiana Haji Sukardi selaku moderator program.-/PENERANGAN

No comments:

Post a Comment