Tuesday 10 September 2013

Manfaatkan Penggunaan Teknologi ICT : Musa

Masidi semasa lawatan ke tapak pameran Seminar ICT
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman menggesa semua agensi kerajaan dan swasta perlu peka terhadap kemajuan teknologi ICT kerana ia mampu untuk menyumbang ke arah peningkatan tahap kecekapan jabatan.

“Kita tidak seharusnya hanya jadi pemerhati terhadap kepesatan teknologi ICT sebaliknya kita juga perlu menjadi pengguna yang aktif dalam industri ini,” katanya lagi.

Katanya, hal yang sedemikian juga dapat mengurangkan kos operasi dan menjamin keselamatan maklumat yang disimpan selain meningkatkan penggunaan sumber dan fasiliti bagi sesebuah jabatan.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian sempena Majlis Perasmian Seminar ICT Peringkat Negeri Sabah 2013 di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah, pagi tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Exco Pelajaran Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Dalam ucapan itu Musa turut meminta semua Pegawai Teknologi Maklumat untuk membuat perancangan yang rapi dan teliti bagi keperluan ICT jabatan masing-masing bagi mengelakkan sebarang pembaziran pembelian alatan ICT.

“Segala perancangan yang dibuat harus mengambil kira keperluan mengintegrasikan setiap aplikasi yang digunakan di jabatan masing-masing untuk mengelakkan sebarang pertindihan maklumat,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata seminar ICT yang diadakan sejak tahun 2005 itu adalah atas usahasama lima buah organisasi iaitu UMS, MAMPU Sabah, INTAN Sabah, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah dan Lembaga Koko Malaysia.

Beliau berkata, penganjuran seminar ICT kali ini adalah tanda sokongan berterusan daripada pihak universiti terhadap pemanfaatan untuk Pengajaran dan Pembelajaran Profesional.

Hadir sama, Pengarah MAMPU Sabah, Encik Kaneyasen A/L Perumal; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri, Dr. Haji Mingu Haji Jumaan; Pengarah Wilayah, INTAN Cawangan Sabah, Encik Mohd Nawardi Saad; Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) Lembaga Koko Malaysia, Encik Kelvin Lamin; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Shahril Yusof dan Pendaftar UMS, Left. Kol.(K) Datuk Abdullah Hj. Mohd Said.-/PENERANGAN

No comments:

Post a Comment