Hajah Daresah (dua dari kiri) menyerahkan buku cendera kenangan kepada Tun Juhar (tengah) sambil diperhatikan oleh ahli-ahli Lembaga Penasihat Arkib. |
KOTA KINABALU: Program Mengenang Tokoh Negarawan Peringkat Negeri Sabah akan diadakan bersempena dengan Sambutan 50 Tahun Penubuhan Malaysia di Arkib Negara Malaysia Cawangan Sabah pada selasa depan (17 September 2013).
Ketua Pengarah Arkib Negara, Puan Hajah Daresah Haji Ismail berkata program antara lain bertujuan untuk membina hubungan yang lebih erat di antara arkib dengan golongan masyarakat terutama sekali para generasi muda.
Katanya, selain memberi peluang kepada seluruh lapisan masyarakat untuk menghayati sejarah, ia juga bertujuan mengimbas kembali tokoh-tokoh negarawan yang terlibat dalam penubuhan Malaysia khususnya tokoh-tokoh dari negeri Sabah sendiri.
“Ini secara tidak langsung dapat mendorong dan menggalakkan seluruh lapisan masyarakat untuk menghargai serta menjiwai jasa-jasa tokoh negarawan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri, Tun Haji Juhar Haji Mahiruddin di Istana Negeri Kota Kinabalu, pagi tadi.
Menurutnya, program yang akan diadakan berkonsepkan penghayatan tokoh dan menitikberatkan elemen perpaduan masyarakat berbilang kaum dan semangat kecintaan kepada negara.
Antara pengisian bagi program selama tiga hari bermula 17 September sehingga 19 September termasuklah Pameran Penubuhan Malaysia serta Seminar 50 Tahun Malaysia: Sejarah, Cabaran dan Masa Depan. persembahan lapangan, gerai-gerai serta Demonstrasi Awet dan Jilid.
Daresah berharap dan menyeru seluruh lapisan masyarakat terutama sekali golongan muda datang beramai-ramai ke program berkenaan bagi memupuk semangat cintakan sejarah tanah air serta perasaan kebersamaan dalam kalangan rakyat 1Malaysia.-/PENERANGAN
No comments:
Post a Comment