Wednesday 4 September 2013

Peranan Fatwa MKI Penting - Musa

Tun Haji Juhar menyampaikan cendera kenangan kepada Mufti Kerajaan Pulau Pinang, Dato' Seri Haji Hassan Mohammad (kiri) sambil diperhatikan oleh Yahya (kanan)
KOTA KINABALU:   Peranan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia atau Jawatankuasa Fatwa MKI amat penting dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata isu-isu melibatkan akidah, perubatan, ekonomi, sosial dan sebagainya perlu diberi perhatian serius untuk diperjelaskan kepada masyarakat Islam.

“Pengukuhan dan kekuatan institusi fatwa perlu dikemaskini dan diperkukuh agar masyarakat Islam berasa yakin dan percaya bahawa fatwa boleh menyelesaikan pelbagai isu semasa yang berkaitan dengan hukum syarak.

“Fatwa perlu diselesaikan dengan efektif, efisien dan cepat seiring perkembangan teknologi terkini.

“Fatwa di negara ini juga mampu memainkan peranan secara berkesan dalam usaha menyelesaikan sebarang isu semasa yang berkaitan hukum syarak,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin pada Majlis Makan Malam sempena Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-104, di salah sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.


Turut hadir Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Datuk R.M. Jasni./PENERANGAN-

No comments:

Post a Comment