Thursday, 26 September 2013

BIGFEST pada 4 Hingga 6 Oktober Ini

GITAR…Tun Haji Juhar (tengah) memetik gitar yang merupakan cenderamata daripada rombongan BIGFest 2013.
KOTA KINABALU:  Konsert Pesta Gitar Antarabangsa Borneo (BIGFest) akan berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah pada 4 hingga 6 Oktober ini.

Presiden Teater Muzik Sabah, Peter Chua berkata konsert tersebut membariskan persembahan oleh Yuta Tanaka (Jepun), Peter Dickson (Australia), Trio Baihana Acappella (Filipina) dan Sheikh Hady Basmeih (Malaysia) dan ramai lagi.

“Konsert tersebut bersempena dengan sambutan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah Yang Ke-60 tahun ini.

“Konsert akan bermula pada jam 6 petang sampai 11 malam dan tiket berharga RM80 boleh didapati di Music Mart Asia City di talian 088-232629.

“Selain itu, bengkel percuma turut diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tarikh yang sama bermula jam 11 hingga 1 tengah hari,” katanya selepas membuat kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin di Istana Negeri, kelmarin.

Turut hadir Pengarah JKKN Sabah, Jasmi Rasit dan Pengurus Music Mart, Dr Janet Lee.

Terdahulu, Tun Haji Juhar menerima kunjungan hormat rombongan Ma’had Tahfiz Al Quran Wassunah Sandakan yang diketuai penegerusinya, Datuk Haji Daning Bajau.

Kunjungan berkenaan bertujuan untuk memaklumkan perkembangan dan prestasi para pelajar di pusat pengajian berkenaan sejak ditubuhkan tiga tahun lalu.

“Kini terdapat lebih 60 orang pelajar yang menuntut di pusat ini dan pencapaian terbaik ialah melahirkan enam orang hafiz.

“Mereka terdiri daripada para pelajar lepasan PMR dan diwajibkan menduduki peperiksaan SPM selain belajar tahfiz al quran,” katanya./PENERANGAN-

No comments:

Post a Comment