Friday 20 September 2013

Arkib Negara Anjur Majlis Bicara Tokoh Tun Fuad Stephens

Daresah (kiri) menyerahkan buku cenderakenangan kepada Tan Sri Abdul Majid Khan (kanan) pada majlis bicara tokoh
KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Arkib Negara, Hajah Daresah Haji Ismail berkata Majlis Bicara Tokoh: Allahyarham Tun Datuk Haji Mohammad Fuad Stephens memberi ruang kepada generasi muda untuk memahami perjuangan beliau dalam merealisasikan pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Daresah berkata, penganjuran majlis bicara tokoh ini adalah sebahagian daripada usaha Jabatan untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan masyarakat majmuk di negara ini terutamanya generasi muda yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang.

Majlis Bicara Tokoh: Allahyarham Tun Datuk Haji Mohammad Fuad Stephens diadakan bersempena dengan Sambutan 50 Tahun Penubuhan Malaysia di Arkib Negara Malaysia Cawangan Sabah, kelmarin.

Dua personaliti penting iaitu bekas Setiausaha Politik Tun Fuad Stephens, Tan Sri Abdul Majid Khan dan anak lelaki kepada Allahyarham Tun, Asgari Stephens dijemput sebagai tokoh pembicara pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, Daresah turut berkata maklumat yang diperoleh melalui individu terdekat yang mengenali Allahyarham Tun seperti Tan Sri Abdul Majid Khan dan Asgari Stephens adalah penting bagi melengkapkan maklumat dan pengisian pameran Memorial Negarawan.

“Segala maklumat melalui sumber terdekat dengan Allahyarham Tun akan disimpan di Arkib Negara dan akan dibuka kepada penyelidik untuk rujukan,” katanya.

Daresah dalam ucapannya turut menyeru rakyat Sabah agar sama-sama menghayati perjuangan Allahyarham Tun Fuad Stephens bersama pemimpin-pemimpin tempatan lain dalam gagasan Malaysia 50 tahun lalu yang telah memberi rahmat kepada negeri ini.

“Kebijaksanaan, ketokohan dan keikhlasan Allahyarham Tun telah dapat menyuntik semangat rakyat Sabah untuk menyokong pembentukan Malaysia.

“Bukan mudah untuk Allahyarham Tun memastikan kewujudan Malaysia kerana tidak semua rakyat menyokong gagasan berkenaan,” jelasnya.

Majlis bicara tokoh itu dihadiri kira-kira 200 orang peserta terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, badan berkanun, swasta, pelajar-pelajar institut pengajian tinggi dan masyarakat setempat.

Hadir sama, isteri Allahyarham Tun, Toh Puan Rahimah Stephens; ahli keluarga dan kenalan rapat Allahyarham Tun serta Pensyarah Pusat di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohd bin Samsudin selaku moderator majlis.-/PENERANGAN

No comments:

Post a Comment