Tuesday 24 September 2013

Lebih 1.2 Juta Pemegang Akaun ASNB Di Sabah

GIMIK PELANCARAN... Musa memukul gong sambil disaksikan oleh Tun Ahmad Sarji.
KOTA KINABALU: Sabah antara negeri mempunyai jumlah Pemegang Akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) tertinggi iaitu lebih 1.2 juta dalam profil pelabur Permodalan Nasional Berhad (PNB) , menerusi pelaburan lebih 14.75 billion dalam unit amanah ASNB.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata jumlah tersebut menunjukkan bahawa rakyat Sabah sedar pentingnya melabur untuk masa hadapan.

"Melihat kepada perkembangan positif ini, saya yakin dan percaya rakyat di Sabah akan menyokong sepenuhnya pelaksanaan perkhidmatan terbaru oleh ASNB ini," kata beliau dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Harta Pusaka PNB Peringkat Negeri Sabah di sini, pagi tadi.

Pada majlis tersebut, Musa telah melancarkan produk baru PNB yang berkaitan dengan perkhidmatan perancangan harta pusaka ASNB.

Terdahulu, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata dari segi ranking, negeri Sabah berada di tangga kelima dari segi jumlah pelaburan dan tangga keempat dari segi jumlah pemegang akaun.

Beliau berkata PNB menerusi ASNB memperkenalkan satu perkhidmatan baharu untuk memelihara harta-harta yang dimiliki melalui pelancaran Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah ASNB.

"Hibah Amanah adalah satu perkhidmatan berlandaskan Syariah yang menerapkan konsep hibah dan amanah.

Perkhidmatan ini memberi kemudahan alternatif kepada para pelabur beragama Islam untuk mempercepatkan proses pentadbiran harta pusaka berbentuk unit amanah ASNB," jelas beliau.

Selain itu, kata beliau, Pengisytiharan Amanah adalah perkhidmatan menerapkan konsep amanah dalam pengurusan harta pelabur bukan Islam yang membabitkan pelaburan unit amanah mereka di ASNB.

Sehingga Ogos 2013, seramai 1,000 orang pelabur telah membuat Hibah Amanah dan Pengisyitharan Amanah bernilai lebih 400 juta.

Tambah beliau, melalui perkhidmatan baru tersebut, tuntutan harta pusaka boleh selesai dalam masa yang lebih singkat.

Pada 17 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Najib Tun Abdul Razak telah melancarkan perkhidmatan tersebut di peringkat nasional bersempena sambutan Ulang Tahun PNB ke-35.

Majlis Pelancaran hari ini merupakan yang pertama diadakan di peringkat negeri. sebelum diteruskan ke Pahang, Sarawak, Melaka dan Kedah dalam tahun ini.-/PENERANGAN

No comments:

Post a Comment