Saturday 14 September 2013

Wira Lahad Datu Dipertimbang Dalam Skop Pengisahan

GEMBIRA….Anggota pasukan Pewaris menerima hadiah yang disampaikan oleh Jalani (dua dari kiri, depan) sambil diperhatikan oleh Pouziah (empat dari kanan, depan) dan Almain (paling kiri, depan)
KOTA KINABALU : Kisah wira-wira Lahad Datu yang gugur mempertahankan kedaulatan negara akan dipertimbangkan dalam skop pertandingan pengisahan kenegaraan 1 Malaysia, akan datang.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Jalani Johari berkata skop pengisahan yang diperluaskan bermula 2012 itu adalah untuk meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kefahaman di kalangan masyarakat mengenai erti kemerdekaan dan kedaulatan negara.

“Pada peringkat awalnya, skop pengisahan hanya tertumpu kepada lima perdana menteri tetapi bermula tahun 2012, tajuk-tajuknya telah dikembangkan kepada pelbagai tema.

“Cadangan meluaskan skop kepada kisah wira-wira Lahad Datu akan dipertimbangkan pada penganjuran tahun yang akan datang.

“Selain peristiwa-peristiwa yang tidak semestinya yang baharu, tetapi kisah yang boleh mencetuskan ingatan kepada masyarakat juga akan dipertimbangkan,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan 1 Malaysia di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, pagi tadi.

Mengenai program tahunan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia itu, beliau berkata program berkenaan sangat bermanfaat kepada masyarakat untuk lebih mendalami fakta sejarah dan mengetahui beberapa tokoh kemerdekaan yang tidak terdapat dalam buku sejarah.

“Kebanyakan masyarakat masih kurang memahami konsep kemerdekaan dan beberapa lagi tokoh kemerdekaan negara juga tidak diwar-warkan.

“Buku sejarah yang ada di pasaran juga tidak memberi penekanan yang lebih berkaitan tokoh-tokoh kemerdekaan contohnya Dato’ Hajah Siti Rahmah.

“Justeru, menerusi program ini masyarakat dapat mengetahui dan menyayangi serta menghayati erti kemerdekaan,” jelas beliau.

Pada majlis itu, Jalani menyampaikan hadiah dan saguhati kepada 15 buah pasukan yang mewakili negeri masing-masing.

Pertandingan peringkat separuh akhir telah diadakan pada Jumaat lalu, di UiTM Cawangan Sabah dan hanya lima pasukan terbaik beraksi di peringkat akhir.

Pada pertandingan  itu, pasukan Pewaris dari Melaka muncul sebagai  johan menewaskan lima pasukan yang lain.

Usaha gigih dan komitmen mereka yang mengenengahkan kisah perjuangan srikandi tanah air, Dato’ Hajah Siti Rahmah nyata berjaya mencuri perhatian para juri sekaligus menobatkan mereka sebagai johan pertandingan tersebut.

Pewaris terdiri daripada Shahrul Mubarak Ahmad, Kamarudin Bakar dan Norliza Md Yamin yang mempersembahkan tajuk ‘Wira Tak Dicanang’ membawa pulang wang tunai RM 6,000 serta Piala Pusingan Setia Budi, piala iringan dan sijil penyertaan.

Pasukan tuan rumah, Kumpulan Suara Bayu dari Sabah pula merangkul hadiah naib johan berupa wang tunai RM5,000 dan piala iringan serta sijil penyertaan.

Suara Bayu dianggotai Fandyi Sanizan Jurup, Mohd Saqafi Jubar Sherman Khan dan Jass Azliezan Jasili yang mempersembahkan pengisahan perjuangan Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk ‘Perjuangan Belum Selesai.’

Pasukan Majlis Kebudayaan Daerah Teluk Intan Perak terpaksa berpuas hati di tempat ketiga menerusi persembahan bertajuk ‘Bumi Berdarah Demi Tanah Berdaulat’ mengisahkan perjuangan Tok Janggut di Kelantan dan menerima hadiah RM4,000 dan piala iringan serta sijil penyertaan.

Manakala, pasukan Negeri Sembilan dan Terengganu menerima saguhati RM2000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Penerangan Strategik), Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Hajah Pauziah Abd Rahman; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Tarmidzi Hashim; Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Haji Almain Ajirul./PENERANGAN-

No comments:

Post a Comment